Suaram gesa IGP campur tangan kes tangkapan kesembilan Sanjeevan
Kumpulan NGO hak asasai manusia, Suaram mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar campur tangan berhubung kes tangkapan kali kesembilan Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan.
Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata demikian ketika menyampaikan memorandum kepada polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
"Tangkapannya (Sanjeevan) buat kali kesembilan adalah di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca), yang membenarkan penahanan tanpa bicara.
"Dalam kes ini, pihak polis gagal mendakwa Sanjeevan berhubung tangkapan sebelum ini," kata Sevan ketika membacakan memorandum itu dengan kuat, di luar Bukit Aman.
Beliau menggesa Ketua Polis Negara untuk campur tangan untuk menghentikan "pelanggaran hak asasi manusia" serta-merta.
Memorandum itu juga meminta supaya tidak ada lagi tangkapan, dan penjelasan sama ada polis mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa Sanjeevan di mahkamah.
Mereka juga meminta siasatan terhadap lapan tangkapan sebelum ini yang berakhir tanpa sebarang dakwaan.
Akhir sekali, memorandum itu menuntut pemansuhan Poca dan undang-undang lain yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

