Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kenal pasti musuh sebenar sebelum tawar gencatan’

Tawaran ‘gencatan senjata’ sesama pembakang oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, walaupun agak terlewat, tetapi wajar dipuji, kata seteru politiknya, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Namun, bagi naib presidennya, Datuk Mujahid Yusof Rawa, PAS perlu mengenal pasti musuh politik yang sebenar kerana pada pilihan raya kecil berkembar di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak, PAS jelas telah menyerang Pakatan Harapan.

Katanya, di sebalik rundingan, PAS membuat keputusan untuk bertanding, membuka laluan bagi pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya itu.

"PAS yang memusnahkan pembangkang," kata Mujahid kepada Malaysiakini.

Beliau berkata PAS juga menyerang DAP dan mengabaikan ‘amaran’ Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali supaya tidak bertanding.

Mengenai kenyataan terbaru Tuan Ibrahim, Mujahid berkata beliau tidak pasti sama ada tawaran itu adalah idea timbalan presiden PAS itu atau pendirian parti berkenaan.

“Saya tak pasti idea siapa (gencatan senjata) itu kerana pernah berlaku kenyataannya begitu cepat ditolak oleh bosnya (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya.

Dalam cadangan gencatan senjata semalam, Tuan Ibrahim menggesa pembangkang untuk menggembleng tenaga bersama untuk menumbangkan BN dan berharap pertelagahan sesama mereka kini dapat ditamatkan demi rakyat dan masa depan negara.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, Tuan Ibrahim mesti menyedari bahawa Pakatan Harapan jelas adalah dari awal mengenai siapa musuh mereka yang sebenar.

"Kami tidak pernah dianggap PAS sebagai musuh mahupun saingan, kami juga menjemput PAS untuk menyertai Pakatan Harapan," kata Mujahid.

"Kami bersatu dalam Harapan dan beliau mesti mengiktiraf pakatan itu terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang perbincangan," kata Mujahid.

"Beliau mesti menghormati AMANAH sebagai parti komponen untuk menunjukkan keikhlasannya," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS