Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan 57 saman ke atas pemandu yang memandu di lorong kecemasan di lebuh raya sepanjang tempoh pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2016 yang bermula 29 Jun dan berakhir semalam.

Pengarah JPJ negeri Azrin Borhan berkata kesemua kesalahan tersebut dikesan oleh anggota JPJ yang melakukan penyamaran bergambar di beberapa lokasi terpilih.

"Pemandu yang didapati menyalahgunakan lorong kecemasan, akan dikenakan saman serta merta dan melalui pemerhatian kami, saman di lorong kecemasan yang paling banyak berlaku ialah pada 9 dan 10 Julai lepas.

"Pemandu yang disaman akan dihadapkan ke mahkamah dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 selain tiada kompaun diberikan," katanya kepada media selepas Operasi Khas Motosikal di Seremban malam tadi.

Beliau berkata aduan bergambar dan video yang dihantar oleh orang awam kepada JPJ, berkaitan kesalahan jalan raya yang majoritinya membabitkan kesalahan memandu di lorong kecemasan, sedang dalam proses kemas kini.

Selain 74 anggota JPJ, seramai 68 anggota polis, 24 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan negeri, 18 anggota Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan dan lima anggota Jabatan Alam Sekitar negeri turut menyertai operasi tersebut
yang diadakan semalam selama empat jam bermula pukul 8 malam.

Sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2016, pihak JPJ telah memeriksa 2,768 kenderaan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,615 kenderaan diambil tindakan dan sejumlah 1,489 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Sembilan, Supt Md Dali Wahid berkata pihak polis mengeluarkan 59 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu dengan JPJ malam tadi.

"Secara keseluruhan, sepanjang Op Selamat 9, jumlah kemalangan yang dicatatkan menurun kepada 921 kes, berbanding 929 kes semasa Op Selamat 7.

"Jumlah kemalangan maut pula menurun 10 kes kepada 11 kes tahun ini berbanding 21 kes tahun lepas," katanya dan menambah jumlah kematian ialah sebanyak 12 tahun ini berbanding 21 tahun lepas.

"Saya percaya konsep tindakan penguatkuasaan yang tegas merupakan salah satu penyumbang kepada penurunan kes kemalangan yang berlaku pada Op Selamat 9 kali ini," katanya.

Bagaimanapun, Md Dali berkata jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang Op Selamat 9 meningkat kepada 7,540 saman berbanding 3,785 saman tahun lepas.

- Bernama