Masalah parit jejas tanaman hampir 1,000 pesawah Sg Manik
Kira-kira 1,000 pesawah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik dekat Teluk Intan bimbang tidak dapat mengusahakan tanaman mereka walaupun musim penanaman telah bermula awal bulan ini, berikutan masalah pengairan.
Tinjauan Bernama mendapati pesawah mengeluh kerana air yang mula disalurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak dapat memasuki bendang gara-gara parit agih dan parit buang yang tidak diselenggara dengan baik.
Penduduk mendakwa parit agih yang diguna untuk menyalurkan air ke bendang dari tali air utama dan parit buang untuk membuang lebihan air dari kawasan padi sepatutnya diselenggara oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
Seorang pesawah, Ayob Zakaria, 56, berkata penanaman padi tidak boleh dilakukan ketika air banyak di dalam bendang kerana dikhuatiri akan menjejaskan tanaman selain berdepan risiko ancaman makhluk perosak seperti siput gondang.
Beliau yang juga ketua kampung Sungai Tunku Sungai Manik menganggarkan kira-kira 30 peratus daripada 2,023 hektar kawasan penanaman padi di Sungai Manik berjaya mendapat bekalan air.
Ayob mendakwa, pihaknya bersama beberapa ketua kampung lain dalam kawasan Sungai Manik telah beberapa kali mengadakan pertemuan bersama pihak IADA namun sering kali menerima maklum balas mengecewakan.
"Setiap bulan bila kita adakan mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) isu yang sama sering diketengahkan dan wakil IADA sering memberi jawapan tiada peruntukan dari mereka," katanya.
Menurut beliau masalah parit tidak diselenggara dengan baik mula timbul sejak IADA mengambil alih penyelenggaraan daripada JPS kira-kira tiga tahun lalu.
"Pada awal IADA ambil alih, setahun dua kali bersihkan semak, kemudian setahun sekali hinggalah lepas itu tiada langsung dan kali terakhir adalah sekitar Disember lalu hingga Januari tahun ini," katanya.
Bagi Sabri Sulaiman, 48, yang juga merupakan ahli JKKK kawasan Sungai Manik Lama Kiri berkata 80 peratus pesawah di kawasannya sering kali mengadu permasalahan tersebut.
"Mereka (orang ramai) akan salahkan tok sidang (ketua kampung) dan JKKK kononnya tidak buat kerja sedangkan kita sering kali membawa usul ini kepada pihak berwajib.
"Bila ini berlaku, semua tergendala. Sepatutnya mengikut jadual dalam 10 Julai rata-rata pesawah patutnya sudah mula tabur benih padi," katanya.
JPS serta Jabatan Pertanian menetapkan pengairan dilakukan dua kali setahun bagi tujuan penanaman padi iaitu pada 1 Jan dan 1 Julai dengan sumber air adalah dari Sungai Batang Padang.
Sabri berkata pihak IADA septutnya lebih amanah melaksanakan tugas menyelenggara parit secara berkala dan tidak membiarkan pesawah dibebani dengan tugas tersebut.
Bagi ketua kampung Sungai Manik Lama Kanan, Azhar Kassim, 49, yang mengusahakan empat hektar sawah berkata terdapat kalangan pesawah di kawasannya terpaksa keluar modal tambahan sendiri untuk mengepam air masuk ke dalam bendang mereka.
Beliau turut mencadangkan IADA menyediakan pam kekal di setiap kawasan bendang bagi membantu pesawah mendapatkan bekalan air dari parit buang sekiranya musim kemarau melanda.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin dalam reaksinya melahirkan kekesalan dengan IADA lebih-lebih memberikan alasan peruntukan sebagai kegagalan penyelenggaraan.
Beliau yang juga Anggota DUN Sungai Manik turut mempertikaikan kewibawaan IADA yang sering melakukan projek menaik taraf saliran, namun air tidak tetap tidak memasuki kawasan padi.
"Saya memandang serius isu ini kerana telah beberapa musim petani memaklumkan tentang situasi begini sejak peralihan pengurusan saliran di kawasan sawah padi daripada JPS kepada IADA.
"Sepatutnya (bila peralihan) semakin baik dan terurus sistematik... tapi pembaikan tidak dibuat dengan sewajarnya," katanya sambil meminta IADA mengambil tindakan segera dan proaktif dengan setiap aduan rakyat.
- Bernama

