Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan perniagaan Cina alu-alukan penurunan OPR
Diterbitkan:  Jul 14, 2016 3:45 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan memberi manfaat kepada pengguna, menurut Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

Presiden ACCCIM, Datuk Ter Leong Yap berkata penurunan OPR merupakan langkah strategi BNM untuk merangsang pasaran.

"Pada tahap tertentu, langkah ini akan mengurangkan sedikit kos menjalankan perniagaan dan ia juga baik kepada pengguna kerana mereka akan mempunyai kuasa beli tambahan.

"Bagaimanapun, ini mungkin akan memberi tekanan kepada ringgit," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan dapatan Laporan Kajian Percukaian PKS ACCCIM 2016, hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan satu lagi penurunan kadar pada September, Ter berkata BNM dijangka mengekalkan OPR buat masa ini, selepas tanpa dijangka menurunkannya pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya semalam, menyatakan risiko meningkat daripada langkah Britain keluar daripada Kesatuan Eropah.

Sementara itu, Ter berkata Laporan Kajian Percukaian PKS ACCCIM 2016 menekankan 80 peratus daripada responden menyatakan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah meningkatkan kos operasi mereka.

"Kos tambahan itu termasuk pembelian perisian GST dan pengambilan kakitangan tambahan.

"Oleh itu, kami berharap kerajaan akan menggunakan hasil GST dengan baik dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif," katanya.

ACCCIM juga berharap kerajaan akan menurunkan kadar cukai korporat kepada 18 peratus dan mengurangkan had pendapatan PKS yang boleh dikenakan cukai kepada 15 peratus bagi RM2 juta pertama.

Persatuan itu turut menggesa kerajaan untuk menurunkan kadar cukai pendapatan individu kepada 18 peratus bagi banjaran pendapatan bercukai tertinggi daripada 28 peratus.

"Melalui langkah itu, kami akan dapat meningkatkan daya saing kami dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan langsung asing, selain meningkatkan perbelanjaan berhemat pembayar cukai dalam pasaran.

"Ini akan meningkatkan kesan pengganda dan mengembalikan tarikan dalam ekonomi," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS