Pak Lah: Macam mana tahu Umno goyang?
Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan bahawa Umno mesti berusaha menamatkan kemelut yang melanda atau akan dilanda masalah di kemudian hari.
“Tengoklah.
“Kalau dia tak mahu berusaha akan jadi susah lah,” katanya ketika ditanya sama ada polemik berterusan akan mengguagat BN dalam pilihan raya umum.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau merasakan Umno mulai goyang, beliau mengajukan kembali soalan itu kepada pemberita.
“Macam mana dia tahu goyang?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menemani isterinya Tun Jeanne Abdullah sebagai Penaung Majlis Paralimpik Malaysia di Rumah Terbuka Pusat Kecemerlangan Paralimpik, di Kuala Lumpur hari ini.
Diminta mengulas berkaitan pemecatan pemimpin kanan Umno, Abdullah mengingatkan bahawa “berkelahi” sesama sendiri tidak akan menyelesaikan masalah.
“Semua berkelahi tak habis-habis apa yang nak jadi?” katanya perdana menteri kelima itu.
Umno sebelum ini memecat timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas lantang dan konsisten menyerang Presiden Datuk Seri Najib Razak.
Manakala naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal pula keluar Umno setelah digantung.
Mahathir dispekulasikan akan memimpin parti baru yang disertai bekas-bekas anggota Umno.

