Seorang bekas pemandu van didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya Jun lepas.

S Suresh, 23, didakwa dengan sengaja mencederakan M. Kajalatchmy, 24, seorang promoter, sehingga menyebabkan kecederaan di perut kiri, kepala kiri dan pinggang belakang badan mangsa.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris turut memerintahkan Suresh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 1, Medan Selera Pusat Dagangan, Jalan Bunus di sini pada 7.30 malam, 29 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan perlu menjaga ibunya selain belum mempunyai pekerjaan tetap.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

- Bernama