Malaysiakini BERITA

Tuan Ibrahim mesti dah dapat restu Hadi, kata ulama PAS

Alyaa Azhar  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed percaya cadangan timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya gencatan senjata dilakukan sesama parti pembangkang sudah mendapat restu pemimpin nombor satu parti itu.

"Bila dia bercakap tu, mesti ada restu presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"Ada orang tanya kenapa bukan presiden yang keluar (kenyataan). Takkanlah semua benda nak diurus oleh presiden," kata Mahfodz kepada Malaysiakini.

Mahfodz bagaimanapun berkata, pandangan Tuan Ibrahim adalah wajar supaya parti pembangkang tidak bercakaran sesama sendiri.

"Kalau objektif sama untuk jatuhkan BN, walaupun bukan dalam gabungan, kena kukuhkan parti (terlebih dulu).

"Kalau masing-masing kuat lawan dengan BN, mana-mana parti pembangkang boleh menang.

Tuan Ibrahim semalam menyeru “gencatan senjata” sesama pembangkang, sebaliknya menggembleng tenaga bersama untuk menumbangkan BN.

Katanya, parti-parti pembangkang perlu berkompromi dan mencari titik persamaan tanpa membelakangkan dasar masing-masing

PAS sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP setelah perbezaan pendapat dan perbalahan berterusan dalam isu pelaksanaan hudud.

Langkah itu menyebabkan Pakatan Rakyat, yang dianggotai mereka bersama PKR terkubur.

DAP dan PKR kemudian membentuk gabungan dengan serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Manakala PAS memilih kerjasama baru dengan parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) pimpinan bekas menteri Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.