Belanjawan 2027 lulus peringkat dasar dengan mudah lepas kerajaan meterai CSA
PARLIMEN l Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar melalui undian suara, menyusuli langkah kerajaan memeterai Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) bersama anggota parlimen pembangkang.
Mengendalikan persidangan hari ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul memanggil undian bagi Belanjawan 2027 sebelum memutuskan bahawa majoriti suara menyokong kelulusan rang undang-undang berkenaan.
/file/attachments/orphans/45645645_704719.jpg)
Fasa seterusnya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 ialah perbahasan peringkat jawatankuasa yang dijangka berlangsung bermula minggu depan hingga 26 Nov.
Sekiranya rang undang-undang ini melepasi peringkat jawatankuasa, ia akan dibawa untuk bacaan ketiga sebelum dibentangkan di Dewan Negara. Selepas kelulusan Dewan Negara, ia akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Kelulusan belanjawan hari ini dicapai selepas kerajaan terlebih dahulu memeterai CSA bersama enam anggota parlimen Bersatu dan enam lagi bekas wakil rakyat Bersatu yang sebelum ini menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Di bawah CSA yang turut ditandatangani oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), kesemua 13 anggota parlimen pembangkang itu akan menerima peruntukan pembangunan kawasan pada jumlah yang sama seperti diterima penyokong kerajaan ketika ini.
Sebagai balasan, kumpulan berkenaan akan mengundi menyokong Belanjawan 2027 dan menyokong pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal parlimen semasa.
Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) dilaporkan berkata anggota parlimen Bersatu yang digantung—yang dilihat sehaluan dengan ketua pembangkang Hamzah Zainudin (PN-Larut)—tidak dijemput mahupun dimaklumkan mengenai majlis pemeteraian di Parlimen hari ini.
/file/attachments/orphans/45635345345_421200.jpg)
Beberapa jam selepas Anwar berkongsi klip video majlis pemeteraian itu di platform media sosialnya, Wawasan turut memuat naik sekeping foto di Facebook yang memaparkan presidennya, Hamzah, bersama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN.
Pada 2021, kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob memeterai CSA yang serupa dengan PH, dengan komitmen untuk melaksanakan reformasi serta tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022 sebagai balasan kepada sokongan gabungan itu terhadap Belanjawan 2022 dan usul kepercayaan.
Anwar yang juga menteri kewangan membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt. Cadangan peruntukan kerajaan Persekutuan bagi tahun depan bernilai RM459.8 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM40.6 bilion berbanding belanjawan terakhir yang dibentangkan di bawah pentadbiran Anwar.
Belanjawan 2027 dengan tema “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, menggariskan lapan lunas utama merangkumi komitmen untuk kehidupan rakyat lebih baik sehingga ke agenda memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.
Belanjawan kelima di bawah Kerajaan Madani itu melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, selain RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion.
Menurut takwim Parlimen, perbahasan RUU berkenaan pada peringkat jawatankuasa dijadual berlangsung dari 2 hingga 26 Nov ini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/voing_888855.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.