Polis Pulau Pinang mungkin telah membentuk pasukan petugas bagi mempercepatkan siasatan ke atas kes-kes vandalisme yang melibatkan kuil Hindu tetapi rakyat bimbang mengenai kelewatan dalam mengambil tindakan, kata Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu pada 11 Julai yang lalu sambil menolak ia sebagai tindakan pengganas.

Ramasamy cuba untuk menerangkan beberapa sebab berlakunya insiden yang mencemarkan kesucian kuil di kawasan utara tanahair sejak kebelakangan ini.

"Sikap acuh tak acuh di kalangan awam, kekurangan langkah keselamatan, tidak berminat di kalangan pihak berkuasa, kekurangan tindakan pantas polis dan pengasingan kuil adalah antara sebab mengapa begitu banyak kuil-kuil diserang dan para dewa dihancurkan, " katanya kepada Malaysiakini.

"Serangan itu tidak ditujukan terhadap dewa tertentu, kuil dengan dewa-dewa yang berbeza terlibat." katanya.

Ramasamy menambah, beberapa kes vandalisme mungkin menampakkan pelakuan jenayah kebencian manakala yang lain berpotensi berpunca dari aktiviti rompakan.

"Namun, kami tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan punca atau sebab-sebab sebenar melainkan sehingga pihak polis menyelesaikan siasatan mereka," katanya.

Baru-baru ini, selepas Pulau Pinang menyaksikan empat kuil dirosakkan dalam tempoh dua bulan lalu, dua lagi kuil, satu di Mahang, Kedah dan satu lagi di Selama, Perak juga dirosakkan.

Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star memetik penjaga kuil Sri Maha Muthumariamman di Mahang, berkata, beliau mendapati patung setinggi 0.9 meter dipindahkan dari tempat asalnya dan dihancurkan.

Sementara itu, penjaga kuil Suba Sri Sakthi Kanagavalli di estet Tong Hurst di Selama, mendapati pintu kayu di dewan utama kuil berkenaan terbuka dan dua patung dipecahkan.

Kedua-dua kejadian berlaku pada Selasa lalu dan barang kemas yang disimpan di bawah patung-patung di kedua-dua kuil juga dilaporkan hilang.

Jarak di antara kedua-dua kuil itu hanya 4 km kerana pekan Selama terletak di sempadan Perak dan Kedah.

[Baca berita penuh]