Paling Popular
Terkini

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kumpulannya dan pembangkang tidak akan menyerang PAS jika mereka tidak menyerang terlebih dahulu.

Bercakap pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir berkata kumpulan yang menyertai gerakan Selamatkan Malaysia telah bersetuju untuk mengadakan 'gencatan senjata' di antara mereka.

"Kami bersetuju dengan cadangan untuk 'gencatan senjata' di antara kita.

"Tidak dengan orang-orang yang sebahagiannya dengan kerajaan dan sebahagiannya dengan pembangkang," katanya.

Ini dipercayai merujuk kepada PAS, yang kini lebih dekat dengan BN selepas terkuburnya Pakatan Rakyat, tetapi masih kekal sebagai sebahagian daripada pembangkang.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai sama ada mereka akan melakukan gencatan senjata dengan PAS, Mahathir menjawab: "Kami berharap (mereka) tidak akan menyerang kita dan kita tidak akan menyerang mereka."

Kenyataannya itu dibuat sehari selepas Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru 'genjatan senjata' di kalangan parti-parti pembangkang.

Tuan Ibrahim semalam berkata, sebaliknya pihak pembangkang perlu mengembleng tenaga menentang BN.

Beliau berkata parti pembangkang boleh berkompromi tanpa mengorbankan dasar utama mereka untuk memberi tumpuan kepada "musuh sebenar".

Lihat Komen
ADS