Tuan Ibrahim bermadah: Bila dipuji kena sedia dikeji
Ketika orang ramai menanti-nantikan penjelasan lanjut berkaitan cadangan 'gencatan senjata' PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini memilih bermadah untuk “anakku”.
Bermula dengan perbandingan perlawanan bola sepak, beliau antaranya mengingatkan bahawa sorak-sorai akan bertukar menjadi kecewa dan sedih jika penalti tidak dapat disudahi.
Beliau justeru mengingatkan, bahawa ketika dipuji, seseorang itu harus pula sedia menerima kejian kerana Allah menjadikan segalanya berpasangan.
“Semuanya ada pasangan.
“Inilah hakikat yang kamu mesti bersedia ketika di dunia sementara ini,” tulisnya di Facebook.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Tuan Ibrahim cuma menulis secara umum ataupun merujuk kepada kes tertentu.
Beliau sebelum ini mencetuskan perbahasan hangat apabila menawarkan 'gencatan senjata' terhadap Pakatan Harapan supaya pembangkang menumpukan usaha menumbangkan BN.
Berikut madah penuh orang nombor dua PAS itu:
Wahai anakku,
Apabila pengadil memberikan sepakan penalti, seluruh penyokong, pemain dan pegawai bersorak keriangan.
Lebih gembira apabila pemain utama yang banyak menghasilkan gol sepanjang lega ditugaskan mengambil penalti tersebut.
Suasana seluruh stadium dan kaca TV tertumpu kepada sepakan.
Dunia jadi senyap sepi.
Tumpuan hanya satu. Di saat ini pesakit akan lupa sakitnya, si miskin akan lupa kepapaannya, si kaya akan lupa kekayaannya.
Sepakan dibuat...
Bila mana sepakan penalti tersebut berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, suasana terus berubah.
Yang tadinya gembira bertukar menjadi kecewa dan sedih. Yang tadinya bimbang bertukar menjadi riang.
Pujian bertukar menjadi cercaan dan kutukan. Cerita gembira beralih kepada cerita dukacita. Yang tadinya kecewa bertukar menjadi gembira.
Hanya dalam beberapa minit sahaja, suasana berubah.
Wahai anakku,
Di saat kamu mendapat sokongan kamu kena sedia untuk menerima kutukan. Di saat kamu dipuji kamu juga kena sedia dikeji. Di saat kamu sedih kamu akan dapati keriangan.
Inilah hakikat kehidupan sementara di dunia kerana Allah menjadikan segalanya berpasangan.
Siang akan bertemu malam. Ada miskin baru ada kaya. Ada susah baru mengenali senang. Ada cahaya barulah kenal kegelapan. Ada ruang kosong barulah mengenal kesempitan.
Semuanya ada pasangan. Inilah hakikat yang kamu mesti bersedia ketika di dunia sementara ini.
Semoga Allah memberikan ganjaran besar di atas sabar dan syukurmu. Senyum selalu.

