Parti politik baru yang diumumkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam perlu menjadi lebih daripada sekadar menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata penganalisis politik, Wong Chin Huat.

"Parti baru itu mestilah lebih daripada sekadar sebuah parti anti-Najib, ia tidak boleh hanya menjadi PAN (Parti Anti-Najib) kerana ramai pengundi tidak akan memihak kepadanya.

"Mereka tidak akan terima naratif yg begitu mudah," menurut anggota Institut Pulau Pinang tersebut dalam wawancara bersama KiniTV, hari ini.

Dengan parti baru itu, Mahathir perlu menangani kebimbangan orang Melayu berhubung dengan masa depan mereka, jelasnya.

Memetik Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wong berkata, orang Melayu tidak lagi menerima manfaat sebagaimana yang mereka telah nikmati pada 1970-an dan 1980-an.

"Kita lihat prospek anak Melayu untuk naik tangga masyarakat (mobiliti sosial) dapat sokongan kerajaan tetapi prospek untuk naik jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan anak-anak bukan Melayu sungguhpun tidak mendapat kuota daripada dasar kerajaan.

"Ini bermaksud kegelisahan orang Melayu perlu dijawab dengan dasar yang lebih mendalam." ujarnya lagi.

Pembangkang dalam hal ini, kata Wong, gagal untuk menyediakan hala tuju yang jelas itu.

"Itu adalah salah satu aspek yang parti baru Mahathir harus usahakan. Perlu ada artikulasi yang jelas tentang bagaimana untuk mengurangkan orang Melayu daripada kemiskinan, "katanya lagi.

Menurut beliau, parti baru berkenaan tidak boleh mengelak daripada menangani isu pembaharuan institusi kerana Najib berasal dari sistem yang memihak kepada sesiapa sahaja yang berkuasa.

Justeru, Mahathir tidak boleh menyalahkan semua masalah yang timbul hanya ke atas Najib semata-mata kerana dengan berbuat sedemikian, beliau tidak menaikkan semangat rakyat untuk bersamanya, tambahnya.

"Ia juga tidak akan cukup untuk memberi inspirasi kepada rakyat dalam menjatuhkan Umno," kata Wong.

Persoalan sama ada parti baru itu akan mempunyai daya penarik, seperti bagaimana kes PKR (kemudian dirujuk sebagai Parti Keadilan Nasional) pada tahun 1999, ujar Wong, keadaan adalah berbeza.

[Baca berita penuh]