Sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan, Berita Harian diminta memohon maaf berhubung laporannya baru-baru ini yang mendakwa sebuah kuil terbiar di Sentul menjadi tempat pengedaran dadah.

Persatuan Rapat Malaysia (RAPAT) berkata laporan itu menghina agama Hindu dan menegaskan bahawa kuil yang dikatakan sebenarnya kedai arak yang masih beroperasi.

"Itu bukan kuil. Ia berbeza. Kalau kamu tak tahu beza, tanya orang yang tahu.

"Berita Harian perlu memohon maaf, jika tidak, saya akan berbincang dengan penasihat undang-undang saya dan lihat jika kita boleh ambil tindakan undang-undang terhadap mereka," kata Presiden RAPAT, A Rajaretinam dalam satu sidang akhbar di Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

Berita Harian Selasa lalu melaporkan kuil lama berkenaan menjadi sarang pengedaran dadah dan hanya terletak 100 meter dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Rajaretinam berkata laporan itu diburukkan lagi oleh fakta terdapat tiga kuil Hindu berhampiran dan ia turut merosakkan reputasi mereka.

Penasihat undang-undang RAPAT dan bekas ahli parlimen Teluk Intan M Manogaran juga mengkritik laporan Berita Harian, sambil menambah RAPAT akan melihat jika ia boleh memfailkan saman fitnah terhadap akhbar itu.

Beliau juga berkata ingin mendapatkan maklum balas daripada Ketua Polis Daerah Sentul ACP Munusamy Ragasamy kerana laporan itu seolah-olah membayangkan polis menyedari sarang dadah begitu dekat dengan ibu pejabat mereka.

"Saya ingin bertanya kepada ketua polis Sentul, apakah jawapan anda kepada ini? Adakah anda sedar?" katanya.

RAPAT juga telah membuat laporan polis mengenai laporan akhbar tersebut dan menggesa polis mengambil tindakan segera.