Sekretariat Melayu Muda (SMM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak kononnya seminar "Melayu dalam Bahaya" anjurannya bertujuan menanam rasa benci orang Melayu terhadap kaum lain di negara ini.

Sebaliknya, kata Pengerusi SSM, Wan Azrain Tan Sri Wan Adnan, seminar tersebut diadakan untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu mengenai `ancaman' yang bakal menimpa mereka pada masa depan.

Beliau menjelaskan bahawa 'ancaman' yang dimaksudkan itu bukanlah daripada kaum-kaum lain di negara itu, tetapi sebaliknya ancaman terhadap orang Melayu dari segi penggangguran, penyalahgunaan dadah dan dalam bidang ekonomi.

"Statistik menunjukkan orang Melayu paling ramai menganggur, terlibat dalam jenayah dan penagihan dadah berbanding kaum lain. Orang Melayu masih ketinggalan jauh dalam bidang ekonomi," katanya ketika dihubungi malaysiakini .

Walaupun Malaysia begitu megah di peringkat antarabangsa, tetapi katanya, kedudukan orang Melayu sebenar 'terancam' dalam semua bidang, terutama ekonomi.

Kerana itulah, kata Wan Azrain, program 'Melayu dalam bahaya' akan diadakan dari masa ke semasa, dengan fokus utama kepada generasi muda Melayu, terutama golongan mahasiswa.

Menurutnya lagi, program anjuran SSM itu mendapatkan sokongan beberapa tokoh dalam kerajaan.

Media Internet

Khamis lalu, Exco Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azwanddin Hamzah telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur kerana mendakwa seminar `Melayu dalam bahaya' berunsurkan perkauman.

Selain SSM, aduan serupa juga dibuat terhadap terhadap sebuah lagi badan, iaitu Prowaris, pengasas Prowaris, Feriz Omar dan editor lamanweb Umno reform , Ghazali Mat Dom atau nama sebenarnya, Anuar Mohd Noor.

Dalam laporan tersebut, Pemuda PKR mendakwa, Sekretariat Melayu Muda dan Prowaris digunakan oleh Umno untuk mempengaruhi orang Melayu memasuki Umno dengan menghasut bahawa mereka kini dalam keadaan kritikal akibat perpecahan sesama sendiri.

Laporan itu juga mendakwa, kedua-dua badan tersebut menggunakan media Internet untuk menyampaikan maklumat yang berupa provokasi mengenai Melayu dalam bahaya dengan harapan orang Melayu kembali menyokong Umno.

Seminar'Melayu dalam bahaya' diadakan pada 13 Mac lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang disertai oleh beberapa tokoh Umno termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir.

Wan Azrain berkata, ini adalah kali kedua SSM mengadakan seminar tersebut dan kali pertama telah diadakan pada Oktober tahun lalu, juga di PWTC.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak bercadang untuk mengundang tokoh-tokoh dari parti pembangkang untuk menghadiri program anjuran SSM, sama ada sebagai penceramah mahupun hadirin.

Mencelik mata

Manakala Editor Umno reform , Ghazali Mat Dom pula berkata, penyiaran berita dan rencana yang melibatkan orang Melayu di lamanweb tersebut tidak ada kena mengena dengan diskriminasi terhadap kaum lain.

Katanya, Umno reform sudah lama menyiarkan berita dan rencana tentang isu-isu yang melibatkan orang Melayu dan ini merupakan kali pertama laporan polis dibuat terhadap beliau.

Menurutnya, isu yang melibatkan orang Melayu seperti pembangunan, memperkasa dan memertabatkan orang Melayu memang menjadi fokus dan keutamaan Umno reform bagi mencelikkan mata mereka.

"Kami bukan semata-mata membidas kepimpinan Melayu tetapi juga memberikan cadangan bagaimana untuk memertabatkan bangsa Melayu di negara ini," katanya

Katanya, orang bukan Melayu boleh bercakap apa sahaja mengenai kepentingan kaum mereka dan Umno reform tidak pernah mencampuri urusan mereka.

"Sebagai contoh, kaum Cina boleh bercakap mengenai isu Suqiu dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina, baik di akhbar mahupun lamanweb, tanpa sebarang sekatan dan halangan," katanya.

Beliau berkata, adalah tidak salah bagi orang Melayu untuk bercakap tentang masa depan mereka dalam politik, ekonomi dan sosial di negara ini sebagaimana yang dibuat oleh kaum lain.