Firasat ingin keluar rumah lebih awal menyelamatkan nyawa seorang penghuni daripada kebakaran yang membabitkan tiga rumah di Jalan Tiong Nam 5, Chow Kit malam tadi.

Fatimah Harun, 60, berkata sebelum kejadian, dia berhasrat membawa keluar dua kanak-kanak lelaki yang dijaganya untuk pulang pada pukul 6.30 petang iaitu 30 minit sebelum kejadian.

"Mujurlah saya sempat membawa keluar kanak-kanak ini lebih awal sebelum berlaku kebakaran tetapi setibanya di rumah, saya panik melihat rumah terbakar dan gagal menghubungi adik saudara yang dikatakan berada di dalam rumah.

"Bagaimanapun, saya rasa lega dan bersyukur apabila dia dapat dihubungi beberapa jam kemudian," katanya ketika ditemui Bernama.

Fatimah berkata kesemua barangan miliknya bersama enam lagi penghuni lain gagal diselamatkan, termasuk dokumen pengenalan diri.

Sementara itu, Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada pukul 7 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

"Kami mengerahkan seramai 23 anggota dan lima buah jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Titiwangsa, Hang Tuah, Sri Hartamas dan Jinjang," katanya.

Beliau berkata sebuah daripada tiga rumah yang terlibat musnah 80 peratus manakala dua lagi hanya mengalami kerosakan kecil.

Katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat.

- Bernama