BERITA Malaysiakini

Semua 13 wakil rakyat PAS S'gor tampil sokong Tuan Ibrahim

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tiga belas wakil rakyat PAS di Selangor tampil menyatakan sokongan terbuka terhadap tawaran 'gencatan senjata' pembangkang yang dibuat timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan parlimen (MP) itu menyatakan sokongan kepada Tuan Ibrahim dan naib presiden Datuk Iskandar Abd Samad, yang mendukung kenyataan itu, setelah penelitian dan perbincangan mendalam.

“Maka ADUN dan MP Pas Selangor akan menyerahkan suatu surat kepada pimpinan pusat yang di sokong dan di tandatangani oleh kesemua ADUN dan MP Pas di Selangor,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Dalam kenyataan itu, mereka risau terhadap perkembangan politik Selangor yang dimenangi bersama gabungan dengan PKR dan DAP pada 2008.

Mereka justeru, menuntut sebuah pendekatan atas nama "Pakatan Pembangkang" untuk mempertahankan Selangor selain, mencari pendekatan ke arah pertembungan satu lawan satu dengan BN.

“(Hendaklah) mencari titik persamaan yang terbaik berdasarkan demografi di Selangor dengan syarat menghormati prinsip yang dibawa oleh setiap parti yang berbeza,” menurut mereka.

Beberapa nama yang disenarai mengesahkan kesahihan kenyataan itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, yang namanya teratas dalam senarai itu, ketika dihubungi menegaskan ia tidak bermakna mereka menolak Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Betul (kenyataan itu), tetapi tidak bermakna kita tolak presiden,” katanya.

Senarai 13 wakil rakyat itu adalah:

  1. Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang)
  2. Mohd Shafie Ngah (Bangi)
  3. Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras)
  4. Zaidy Bin Abdul Talib (Taman Templer)
  5. Mohd Haslin Hassan (Tanjong Sepat)
  6. Dr Abd Rani Osman (Meru)
  7. Khasim Abdul Aziz (Lembah Jaya)
  8. Dr Halimah Ali (Selat Klang)
  9. Hasbullah Mohd Ridzwan (Gombak Setia)
  10. Noor Hanim Ismail (Seri Serdang)
  11. Razaly Hassan (Dusun Tua)
  12. Sallehen Mukhyi (Sabak)
  13. Dr Che Rosli Che Mat (Hulu Langat)