Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS jangan kembali jadi kuda tunggangan DAP
Diterbitkan:  Jul 18, 2016 4:09 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Bekas Setiausaha PAS Selangor, Norman Toha berkata, keputusan parti itu untuk bergerak bersendirian dengan memutuskan tahaluf siyasi bersama Pakatan Harapan merupakan langkah terbaik.

"Adalah lebih baik PAS menjalinkan kerjasama dengan kerajaan pusat dalam perkara yang membabitkan kepentingan rakyat khususnya umat Islam daripada kembali menjadi kuda tunggangan DAP," kata beliau, memetik laporan Umno Online.

Ini kerana, ujar beliau, selama PAS menjalinkan tahaluf siyasi dengan pakatan pembangkang, parti ini sentiasa menghadapi tentangan daripada DAP dalam hal-hal yang berhubung kait dengan agenda Islam.

Namun, melihatkan perkembangan hari ini, pihaknya melihat bagaimana agenda perundangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS dapat diterima oleh Umno, katanya.

Sebagai contoh, pembentangan RUU berjaya di bawa ke parlimen baru-baru ini, jelasnya, yang merujuk kepada rang undang-undang yang bertujuan meminda undang-undang persekutuan, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hujung Mei yang lalu.

"Jalinan kerjasama PAS dan kerajaan pusat dilihat dapat memberikan peluang yang lebih cerah kepada parti tersebut untuk melaksanakan agenda Islam dengan sokongan Umno.

“Pembentangan RUU dalam usaha untuk memperkasakan mahkamah syariah baru-baru ini memperlihatkan bahawa wujudnya persefahaman di antara kerajaan pusat dalam hal ehwal Islam bagi menambah baik pelaksanaan perundangan Islam di negara ini.

“Jika PAS kembali menjalinkan hubungan mesra dengan blok pakatan harapan, sudah pastinya segala usaha parti tersebut untuk memperkasakan undang-undang dan pelaksanaan Islam di negara ini akan mendapat tentangan yang hebat terutamanya dari DAP," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS