Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak afidavit Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menyokong permohonan pernyataan pembelaan bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik bagi membatalkan saman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin dalam keputusannya di dalam kamar hari ini memutuskan bahawa afidavit Dr Mahathir itu adalah keterangan dengar cakap yang tidak menyatakan sebarang sumber ia diperolehi.

Menurut peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Mahathir sepatutnya menyatakan sumber maklumat, alasan dan sama ada beliau mempunyai pengetahuan peribadi apabila mendakwa Najib mengambil wang rakyat dari 1MDB.

Dalam perenggan kedua afidavit Mahathir, peguam itu berkata bekas perdana menteri itu mengakui apa yang beliau katakan dalam dokumen berkenaan adalah berdasarkan kepada pengetahuan yang dimilikinya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan alasan berhubung maklumat peribadi yang diperolehinya.

"Mahkamah turut mendapati kandungan afidavit sokongan oleh Dr Mahathir penuh dengan elemen yang boleh menimbulkan perbalahan kerana tidak menyatakan sumber.

"Dengan keputusan ini, afidavit berkenaan akan dipadamkan daripada permohonan Ling untuk membatalkan saman Najib," kata Hafarizam

Hafarizam berkata mahkamah juga mengarahkan Ling untuk membayar kos sebanyak RM5,000.

Mahkamah, katanya menetapkan 24 Ogos ini untuk mendengar permohonan Ling bagi membatalkan saman Najib.

Saman itu difailkan oleh Najib pada 27 Oktober tahun lalu berikutan kenyataan Ling dalam portal Malay Mail bertajuk ‘MCA’s Liong Sik joins call for Najib’s ouster for allegedly putting people’s money in his own pocket’.

Artikel tersebut menuduh Najib menyalahgunakan dana syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB bagi tujuan peribadi.

Dalam samannya, Najib selaku pihak plaintif menyatakan, Ling secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti yang disiarkan dalam portal berita pada 3 Oktober tahun lalu.