Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi pinjaman kepada 2.49 juta peminjam sehingga mereka tamat belajar melibatkan peruntukan RM56.39 bilion sehingga April tahun ini.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata setiap tahun, secara puratanya PTPTN memerlukan RM5 bilion untuk meneruskan pemberian pinjaman kepada peminjam sedia ada dan baharu.

Beliau berkata bayaran balik pembiayaan daripada peminjam setelah tamat pengajian amatlah penting bagi memastikan kelestarian pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang.

"Bayaran balik daripada peminjam terdahulu amat penting bagi memastikan dana ini dapat disediakan dan bagi yang masih belajar pula, gunalah wang pinjaman dengan sebaik mungkin untuk tujuan pengajian," katanya.

Shamsul Anuar berucap pada Konvokesyen Kolej Moral Competence Success (MCS) Kali ke-11 yang melibatkan 300 graduan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, hari ini.

Beliau juga menyerahkan skrol kepada 300 graduan daripada pelbagai program termasuk Diploma Pentadbiran Pejabat, Diploma Multimedia, Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan IT, Diploma Kreatif Multimedia, Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA).

- Bernama