Memetik semangat demokrasi, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata penubuhan parti politik baru perlu diraikan.

Menteri Besar Selangor itu mengulas parti politik baru yang bakal dilahirkan itu seperti yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu.

Walau bagaimanapun, ketika ditanya sama ada PKR akan bekerjasama dengan parti baru berkenaan, Azmin berkata ia bergantung kepada agenda dan ideologi parti tersebut.

“Kita meraikan penubuhan parti-parti poltiik baru kerana ini dapat menyuburkan suasana demokrasi dalam negara.

“Namun sama ada kita akan bekerjasama dengan parti baru ini atau tidak, ia tertakluk kepada agenda dan ideologi parti tersebut, sekiranya parti ini bersetuju bersama-sama dengan agenda reformasi.”

Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek pembangunan perumahan Selangorku di Puchong.

Selain parti baru itu, Mahathir minggu lalu juga mengumumkan satu gabungan pembangkang besar akan dibentuk untuk merealisasikan objektif pergerakan Selamatkan Malaysia.

Sementara itu, diminta mengulas saranan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya diadakan gencatan senjata sesama pembangkang, Azmin mengulangi pendiriannya supaya semua parti-parti politik untuk kembali ke meja rundingan.

"Saya telah mengeluarkan kenyataan, pegang kenyataan saya. Kami sokong idea itu dan kita harus menggalakkan semua parti politik untuk kembali ke meja rundingan bagi berbincang.

"Kita mesti merendah diri dan teruskan perbincangan," katanya.

[Baca berita penuh]