Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong tiba di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya pada Selasa, untuk lawatan
kerja sehari dan menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR). 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut ketibaan Lee dan anggota delegasinya di kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana, di Putrajaya pada pukul 1 tengah hari.

Pemimpin Singapura dan Malaysia itu mengadakan perbincangan empat mata dan menghadiri jamuan tengah hari yang dihoskan Najib sebelum majlis menandatangani HSR.

Najib dan Lee dijadual mengadakan sidang akhbar bersama selepas majlis itu.

Cadangan laluan kereta api sepanjang 350km itu akan bermula di Bandar Malaysia, tujuh kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur, dan berakhir di Jurong East, Singapura.

Cadangan perkhidmatan kereta api itu dijangka akan memendekkan masa perjalanan kira-kira 90 minit berbanding lima jam di jalan raya di antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Kereta api itu dijangka mempunyai lima stesen transit, iaitu bandar
Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
Semalam, Najib berkata cadangan HSR KL-Singapura itu akan mempererat lagi hubungan rakyat dengan rakyat dan meningkatkan hubungan perniagaan antara kedua-dua negara. Dengan itu Malaysia dan Singapura mengambil langkah seterusnya untuk menandatangani MoU bagi projek itu.

-Bernama