'Apa jadi parti Mahathir lepas Najib disingkirkan?'
Perkembangan terkini mengenai landskap politik Malaysia adalah pengumuman pembentukan sebuah parti baru yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, pemantau urustadbir KUASA sedang melihat perkembangan ini dengan "Kerisauan besar dan kebimbangan", kata Ketua Eksekutif KUASA Praba Ganesan
Katanya, spekulasi dan komen daripada mereka yang dikaitkan dengan parti baru itu termasuk Mahathir, berkisar peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukan mengenai kualiti dan prinsip entiti baru yang dicadangkan kepada rakyat Malaysia .
Beliau percaya cerita ini akan menjadikan lebih mudah bagi pihak pengkritik menuduh Mahathir hanya mahu menjadikan anaknya, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.
"Apa yang mungkin berlaku apabila dan jika Najib digulingkan, tujuan parti itu akan terhenti?
"Jika matlamat akhir parti berlegar sekitar seorang lelaki, adakah parti itu akan berkhidmat kepada negara atau untuk kepentingan sendiri?" soalnya.
Praba berkata parti-parti baru, termasuk yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri tidak boleh hanya menjatuhkan rejim sedia ada.
"Pemain baru perlu memberikan ideologi mereka, kedudukan dasar, pemikiran strategik dan visi untuk negara," katanya.

