Polis beri ruang luas untuk Sanjeevan adu didera
Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan diberi ruang yang luas untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau dipukul ketika ditahan reman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata sekiranya laporan itu telah dibuat, pihak polis akan menyiasat secara adil terhadap Sanjeevan.
“Kita memberi ruang seluas-luasnya untuk dia membuat aduan jadi peluang terbuka untuk dia kalau dia rasa dia didera.
“Kalau dia buat laporan polis kita akan jalankan siasatan dan kita akan beri satu layanan dan siasatan yang adil,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Semalam Sanjeevan mendakwa beliau dipukul ketika ditahan reman di bawah Poca 1959.
Menurut peguam utamanya, Gobind Deo Singh, Sanjeevan yang didakwa dengan dua pertuduhan di mahkamah berasingan di Seremban awal hari ini, membangkitkan dirinya diseksa semasa prosiding.
Sanjeevan mendakwa beliau digari, mata ditutup dan dipukul.
Selain itu Sanjeevan turut mendakwa tidak diberi ubat atau makanan sepanjang hari dan mengadu permintaannya untuk rawatan perubatan kerana masalah pendarahan dalaman tidak diendahkan.
Penyeksaan itu didakwa berlaku di pusat reman di Kuala Lumpur, di mana Sanjeevan ditahan selama 21 hari mengikut Seksyen 4 (1) (a) Poca sehingga akhir bulan ini.

