PM: Maafkan saya, isteri dan anggota pentadbiran
Datuk Seri Najib Razak memohon maaf secara terbuka kepada semua warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) atas semua salah silap dan kekasaran beliau selaku perdana menteri.
"Saya tak nak berucap panjang.
“Cuma saya nak mulakan ucapan saya atas nama saya, isteri saya serta anggota pentadbiran untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin kepada semua warga kerja Jabatan Perdana Menteri sekiranya ada kesilapan dan kekasaran bahasa sama ada sengaja atau tidak," kata Najib.
Najib berkata demikian ketika berucap dalam majlis rumah terbuka Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurut Najib yang juga menteri kewangan, kehadiran semua anggota kabinet pada sambutan hari raya itu mencerminkan penghargaan kerajaan kepada semua penjawat awam, khususnya warga kerja JPM.
Malah, anggota parlimen Pekan itu menyifatkan majlis itu sebagai peluang bagi mengukuhkan hubungan silaturahimnya dengan warga kerja JPM.
"Kerana apa jua kita nak lakukan di peringkat pelaksana, yakni penjawat awan, adalah menterjemahkan dasar-dasar kerajaan dalam bentuk tindakan dan pelaksaan yang berkesan untuk penuhi objektif serta matlamat dasar kerajaan," kata Najib.
Najib juga menegaskan penekanan yang lebih berat harus diberikan kepada bidang keberhasilan.
"Saya nak tegasan apa yang penting kita beri tumpuan dan fokus pada bidang keberhasilan yang dah ditentukan seperti bidang pengangkutan awam, perumahan, kos sara hidup dan lain-lain.
"Inilah yang kita mesti beri keutamaan dan jangan hilang fokus.
“Apa saja kita lakukan ialah untuk rakyat dan keutamaan pada rakyat hendaklah kita jadikan sebagai tiang seri tonggak kepada semua dasar kerajaan," tegas Najib.
Katanya lagi, beliau bersyukur dalam sehari dua ini beberapa dasar kerajaan itu sudah dapat diterjemahkan.
"Alhamdulillah dalam sehari dua ini segala inisiatif seperti sambungan LRT dapat dilancarkan manakala MRT pula dijadual pada akhir tahun hatta HSR yang diumumkan semalam semua ini akan beri manfaat pada rakyat dan negara.
“Inilah gambaran Malaysia yang bertambah maju," kata Najib.
Tambah Najib, beliau juga menyeru agar soal keselamatan turut diberi tumpuan kerana ia menjadi cabaran besar pada negara kini.
Kita mesti jaga soal keselamatan kerana keselamatan menjadi cabaran besar pada kita," tambah Najib.
Najib juga turut mengakhiri ucapan beliau dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga kerja JPM yang menjadi pendukung kuat kerajaan.

