Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahidan yakin BN menang jika pilihan raya di P Pinang

Barisan Nasional (BN) bersedia berdepan pakatan pembangkang sekiranya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengadakan pilihan raya negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Malah, Shahidan yakin kemenangan akan berpihak kepada BN di negeri itu.

Shahidan berkata ini kerana Lim sebagai ketua menteri sering kali menganggap dirinya berkuasa dalam segala hal tetapi tidak kali ini.

"Kalau negeri (Pulau Pinang) dia nak buat apa dia buatlah.

"Kita (sedia) hadapinya dan yang paling penting kami ada jentera yang siap siaga nak hadapinya.

"Saya rasa kali ini mereka akan kalah kerana mereka anggap kuasa itu segala-segalanya," kata Shahidan ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Bekas menteri besar Perlis itu berkata, tuduhan rasuah yang terpalit kepada Lim pasti akan mempengaruhi sokongan pengundi di Pulau Mutiara itu.

"Sudah pasti. Pengundi dan rakyat yang rasional mesti melihat benda ini sebab ia tak berlaku bagi orang baru memerintah. 

"Bagi saya kuasa bukan segala-galanya tapi untuk bela rakyat.

"Tapi itu semua terpulang kepada mereka (untuk adakan pilihan raya). Mereka bukan merupakan pejuang rakyat seperti kami," kata Shahidan.

Tambahnya, polisi BN adalah untuk memberi keadilan kepada rakyat berbanding pembangkang yang hanya mahu mendapatkan kuasa.

"BN melalui pengalaman yang begitu luas sepanjang merdeka sampai sekarang ialah kita letak rakyat di hadapan.

"Beri keadilan pada rakyat walaupun kadang-kadang nampak kita seperti tak adil tapi kita buat yang terbaik," katanya.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Lim akan mengadakan pilihan raya negeri di tengah-tengah desakan supaya beliau meletak jawatan berikutan tuduhan rasuah terhadapnya.

Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu masih belum dapat diyakini untuk mengadakan pilihan raya tersebut.

 

Lihat Komen
ADS