Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) kini tidak lagi dibenarkan mengeluarkan kad berkenaan kepada individu secara terbuka atau 'walk in'.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perkara tersebut diputuskan kabinet ekoran penyalahgunaan kuasa oleh pemegang kad terbabit dan lambakan pelarian di negara hari ini.
"Saya dah jumpa mereka (UNHCR) banyak kali suruh mereka hentikan pengeluaran kad sebelum ini kerana ini negara Malaysia.
"Benda ini tak bagus kerana boleh datangkan masalah kepada negara. Banyak juga penerokaan haram seperti di Cameron Highlands dan Rompin oleh pemegang kad UNCHR.
"Minggu lepas kabinet mengarahkan jawatankuasa tinggi ditubuhkan untuk selesaikan perkara (isu pelarian) ini tapi hari ini kabinet putuskan supaya UNCHR tidak lagi boleh memberi kad UNCHR secara 'Walk-in' dan ia dihentikan serta merta," kata Shahidan kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Sehubungan itu Shahidan yang juga ahli parlimen Arau berkata kad tersebut kini hanya boleh dikeluarkan melalui depoh tahanan Imigresen atau dengan kebenaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen.
Tanpa arahan imigesen
Selain itu, beliau juga mempersoalkan bagaimana kad tersebut sebelum ini boleh dikeluarkan tanpa arahan imigresen dan polis.
"Bagaimana kad ini boleh dikeluarkan tanpa pengetahuan imigresen dan polis? Kalau imigresen dan polis pun mereka mesti tentukan status pelarian dan mereka tak boleh keluarkan kad kepada semua pelarian daripada Myanmar.
"Hanya pelarian Rohingya sahaja boleh dapat kad tersebut. Siapa yang berkuasa mengeluarkan kad?," soalnya.
Shahidan berkata tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak atau dalang di sebalik pemberian kad UNCHR tersebut.
"Kita akan ambil tindakan yang tegas. Tidak ada main kayu tiga dalam perkara ini. Kalau betul ada jual kad UNCHR di Chow Kit bagi tahu kita, kita akan tangkap orang yang keluarkan kad palsu ini," katanya.
