Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS S'ngor kesal k'jaan negeri benarkan konsert Selena Gomez

Pimpinan sayap kanan PAS Selangor kesal dengan tindakan kerajaan negeri Selangor yang meluluskan konsert ‘Selena Gomez – The Revival Tour’ yang akan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 25 Julai ini.

Kekesalan itu dizahirkan apabila Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Selangor Riduan Rahmat, Timbalan Ketua Pemudanya Hanafi Zulkapli dan Ketua Muslimatnya, Wan Hasrina Wan Hassan menghantar memorandum bantahan di pejabat kerajaan negeri Selangor di Shah Alam petang tadi.

Ridzuan berkata, PAS tidak menolak hiburan tetapi konsert Selena ini dilihat boleh menjerumus kepada kehancuran dan mengundang masalah sosial di kalangan anak muda.

“PAS ini sebenarnya membenarkan hiburan tapi bila mana hiburan yang datang itu (tidak) membawa kepada kemungkaran dan kehancuran.

“Isu konsert ini bukan masalah hiburan tapi gejala dan diri penyanyi itu yang dikenali seorang yang membawa simbol seksi yang merosakkan anak muda kita hari ini.” katanya kepada pemberita di Pejabat SUK.

Semalam Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata konsert itu akan diteruskan, walaupun mendapat bantahan kerana pihak penganjur menepati semua syarat yang ditetapkan.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata penampilan seksi artis itu bukan perkara penting dan tidak sepatutnya dijadikan isu.

Kesal Azmin anggap isu remeh

Mengulas lanjut Riduan berkata pihaknya kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan Azmin kerana menganggap konsert itu sebagai isu remeh.

“Kita amat rasa sedih dan tidak puas hati seorang menteri besar yang beragama Islam anggap isu ini terlalu remeh,” kesalnya.

Hanafi pula berkata konsert ini wajar dihentikan kerana ia hanya akan memberi kesan buruk kepada generasi akan datang.

“Mewakili anak muda, kita tidak mahu anak muda terjebak dengan budaya hedonism yang melampau dan masalah sosial yang mereka ini akan memimpin negara kita di masa akan datang,” katanya.

Memorandum bantahan tersebut diterima oleh Ketua Setiausaha Sulit Kepada Datuk Menteri Besar Selangor, Mohd Shahrizal Bin Mohd Salleh.

Sewaktu serahan dibuat, Shahrizal berjanji, akan menyampaikan suara tiga dewan PAS Selangor ini kepada Azmin.

Ketika memorandum itu diserahkan, kira-kira 100 penyokong PAS hadir bagi membantah keputusan kerajaan negeri Selangor.

Bantahan konsert itu dilakukan tanpa dihadiri ADUN PAS dan exco kerajaan negeri PAS yang lain.

Lihat Komen
ADS