Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman AS berkaitan 1MDB, k'jaan M'sia akan kerjasama
Diterbitkan:  Jul 21, 2016 9:35 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Kerajaan akan bekerjasama sepenuhnya dengan sebarang penyiasatan yang sah terhadap syarikat atau rakyat Malaysia mengikut protokol antarabangsa, kata setiausaha akhbar kepada perdana menteri, Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad.

Dalam respons kepada saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat semalam, Tengku Sarifuddin berkata seperti yang telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa undang-undang akan dikuatkuasakan, tanpa pengecualian, jika terbukti berlaku sebarang salahlaku.

Tengku Sarifuddin juga berkata pihak berkuasa Malaysia telah mendahului dalam siasatan terhadap 1MDB.

Firma itu, katanya, telah menjadi subjek beberapa siasatan di dalam Malaysia, termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Selepas semakan yang komprehensif, peguam negara mendapati tiada jenayah yang dilakukan, kata Tengku Sarifuddin sambil menambah bahawa 1MDB masih disiasat oleh Polis Diraja Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tengku Sarifuddin berkata saman Jabatan Kehakiman AS itu difailkan terhadap produser filem The Wolf of Wall Street ke atas pelbagai aset.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kerajaan Malaysia akan bekerjasama sepenuhnya dengan sebarang penyiasatan yang sah terhadap syarikat atau rakyat Malaysia mengikut protokol antarabangsa. Sepertimana PM sentiasa tegaskan, jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," katanya.

Najib telah dibersihkan oleh Peguam Negara Malaysia Tan Sri Mohamed Apandi Ali daripada sebarang salah laku berkaitan dengan derma RM2.6 bilion dan juga RM42 juta yang diterima dari SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Jabatan Kehakiman AS, dalam samannya yang difailkan di California semalam, memohon untuk merampas sejumlah 17 aset termasuk hartanah mewah dan sebuah jet, dan juga menamakan produser filem blockbuster 'The Wolf of Wall Street'.

Dokumen mahkamah yang difailkan di Los Angeles itu menyatakan bagaimana hartanah itu didakwa dibeli di Amerika Syarikat, Switzerland dan United Kingdom dari dana yang dialihkan dari 1MDB.

Dokumen mahkamah itu mendakwa dana dialihkan dari 1MDB "untuk manfaat peribadi bersama konspirator (dan) sekutu mereka".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS