Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan 1MDB kini masih dalam fasa pertama dan masih berlangsung.

Katanya, seramai 25 saksi telah direkod percakapannya dan beliau menggesa semua pihak tidak memberikan tekanan semasa proses siasatan dilakukan.

“Kita sebenarnya telah merakam lebih 25 percakapan, semua orang nak kita lakukan yang terbaik jadi kita kena buatnya betul-betul.

“Jadi kita mengambil masa merakam percakapan seorang saksi itu bukan satu dua hari.

"Ada yang seminggu dua minggu untuk kita rakam percakapan, go through document kita perlu masa.

“Tak boleh bagi tekanan, minggu depan nak laporan tak boleh, kerana dalam siasatan, bagi kita masa,” katanya kepada pemberita di Pulapol Jalan Semarak Kuala Lumpur.

Siasatan polis terhadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1MDB kini masuk tiga bulan.

Semalam Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat membuat pengumuman berhubung skandal 1MDB.

DOJ memfailkan saman untuk melucutkan hak sivil di Los Angeles kerana mahu merampas aset bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB.

Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang didakwa disalahgunakan dan aset lain yang terlibat termasuk rumah agam dan mewah, karya seni, jet peribadi dan kutipan filem 'The Wolf of Wall Street'.

Fokus lima syor PAC

Khalid menegaskan pihaknya komited dalam menjalankan siasatan dengan memfokuskan lima syor daripada PAC.

“Salah satu syor itu adalah menjurus kepada penguatkuasaan PDRM untuk kami jalankan tanggungjawab kami,” katanya.

Sebelum ini PDRM telah menubuhkan pasukan penyiasat 1MDB bagi meneliti laporan PAC.

Khalid sebelum ini berkata syarikat pelaburan strategik kerajaan itu akan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat unsur pecah amanah dan tipu.