Pemuda PKR dan DAP (Dapsy) hari ini kecewa apabila memorandum berhubung skandal 1MDB yang ingin diserahkan kepada perdana menteri yang juga presiden Umno tidak disambut.

Kumpulan itu yang diketuai oleh Naib Ketua AMK Selangor, Saifullah Zulkifli menunggu kira-kira 15 minit di lobi Bangunan Dato’ Onn di PWTC sebelum dimaklumkan pihak keselamatan bahawa memorandum itu tidak akan diserahkan kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Kita nak menyerahkan memorandum yang telah kita rangka kepada pejabat presiden Umno tetapi malangnya kita tidak dibenarkan masuk.

“Kita berhasrat untuk menyerahkan kepada pegawai yang berkenaan tetapi pegawai berkenaan tidak mahu menerima surat ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di PWTC.

Saifullah bersama Exco AMK Pusat Mohd Ridzuan Basri, Pengarah Biro Pendidikan Politik DAPSY Chiong Yoke Kong dan Biro Mahasiswa AMK Malaysia Mashitah Sulaiman serta beberapa ahli AMK tiba di PWTC pada jam 3.15 petang tadi.

Justeru itu, Saifullah dan rakan-rakannya bercadang menyiarkan memorandum ini buat tatapan umum di sosial media hari ini.

“Jadi saya ingat selepas berbincang dengan rakan-rakan kami mahu menjadikan surat ini yang sepatutnya diberi terus kepada presiden tapi kami terpaksa menjadikan ia memorandum terbuka kepada presiden Umno dan perdana menteri Malaysia,” katanya.

Memorandum itu antara lain mendesak Najib mengambil serius mengenai tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bagi merampas pembelian aset yang diperoleh melalui dana 1MDB.  

Mereka turut mendesak Najib menjawab segala tuduhan mengenai kehilangan berbilion wang rakyat demi 'mempertahankan nama baik Malaysia'.

Selain itu pihaknya turut menyeru laporan berkaitan 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan ketua audit negara didedahkan kepada umum dan Najib perlu menafikan dakwaan itu.

Rabu lalu DOJ memfailkan saman untuk merampas aset termasuk hartanah bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB.

Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang didakwa disalah guna bagi pembelian termasuk rumah mewah, karya seni, jet peribadi dan pembikinan filem Hollywood The Wolf of Wall Street.

Peguam Negara AS Loretta Lynch juga mengeluarkan kenyataan yang memberi tamparan hebat kepada kerajaan Malaysia, bahawa sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion milik rakyat Malaysia 'telah dicuri'.