Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Remaja bersenjata bunuh 9 orang bertindak sendirian, kata polis Munich
Diterbitkan:  Jul 23, 2016 5:53 AM
Dikemaskini: Jul 23, 2016 2:46 AM

Seorang remaja Jerman keturunan Iran, dipercayai bertindak sendirian apabila melepas tembakan di sebuah pusat membeli-belah yang sibuk di Munich pada petang Jumaat, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dalam serangan ketiga terhadap orang awam di Eropah Barat dalam tempoh lapan hari.

Penyerang lelaki berusia 18 itu yang bersenjatakan pistol, dikenal pasti oleh Ketua Polis Munich Hubertus Andrae sebagai memiliki dua kerakyatan, kemudiannya ditemui mati dipercayai akibat tembakan sendiri di kepalanya.

Polis, memetik keterangan saksi, pada mulanya berkata mereka sedang mencari sehingga tiga suspek dalam serangan dipPusat membeli-belah Munich Olympia yang menyebabkan orang ramai bertempiaran lari dalam keadaan panik.

Tetapi pihak berkuasa memberitahu sidang akhbar awal Sabtu bahawa penembak itu dipercayai bertindak bersendirian, dengan melepaskan tembakan di sebuah restoran makanan segera sebelum menuju ke pusat membeli-belah itu.

Enam belas orang, termasuk beberapa kanak-kanak, cedera dalam serangan itu dan tiga dalam keadaan kritikal, kata Andrae.

Motif serangan di bandar ketiga terbesar di Jerman itu masih belum dipastikan, yang menyebabkan perkhidmatan pengangkutan dihentikan dan lebuh raya ditutup serta-merta selepas kejadian itu.

Ia adalah tindakan keganasan ketiga terhadap orang awam di Eropah Barat dalam tempoh lapan hari. Kumpulan Militan Negara Islam (IS) mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan sebelum ini di Perancis dan Jerman.

"Motif bagi perbuatan itu belum benar-benar lagi jelas - kita masih mempunyai petunjuk yang bercanggah," kata Menteri Luar Jerman Frank-Walter Steinmeier dalam satu kenyataan.

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab tetapi penyokong IS meraikannya dalam media sosial.

"Negara Islam sedang berkembang di Eropah," demikian menurut satu tweet.

Remaja bersenjata itu, yang mayatnya ditemui di tepi jalan berhampiran pusat membeli-belah itu, tidak dikenal pasti dengan nama tetapi Andrae berkata, dia sebelum ini tidak dikenali oleh pihak polis.

Pusat membeli-belah itu terletak bersebelahan stadium Olimpik Munich , di mana kumpulan militan Palestin Black September menjadikan 11 atlet Israel sebagai tebusan dan akhirnya membunuh mereka semasa Sukan Olimpik 1972 .

Serangan pada hari Jumaat itu berlaku seminggu selepas seorang pencari suaka berusia 17 tahun menyerang penumpang sebuah kereta api Jerman dengan kapak.

Polis Bavarian menembak mati remaja itu selepas dia mencederakan empat penumpang dari Hong Kong dan seorang penduduk tempatan, ketika melarikan diri.

Ketua polis itu berkata tiada persamaan antara serangan Jumaat itu dan kejadian di dalam kereta tersebut, berhampiran bandar Wuerzburg di selatan Jerman.

- Reuters

[Baca berita penuh]

 

 

Lihat Komen
ADS