Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Hasmah kongsi pengalaman hadiri BERSIH 4 dalam autobiografi
Diterbitkan:  Jul 23, 2016 11:10 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Dalam autobiografinya 'My Name is Hasmah', Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali - isteri mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - menceritakan pengalaman beliau menghadiri perhimpunan BERSIH 4.

Pada hari pertama perhimpunan tersebut, yang diadakan pada 29 Ogos tahun lepas, Siti Hasmah dan Mahathir baru sahaja mendarat di Lapangan Terbang Subang selepas menghadiri satu majlis di Pasir Gudang, Johor.

Ketika memeriksa telefonnya semasa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka, Mahathir melihat gambar-gambar begitu ramai orang berkumpul di pusat bandaraya menghadiri perhimpunan itu.

Siti Hasmah berkata suaminya terus membuat keputusan untuk pergi ke sana.

"Saya memutuskan jika Mahathir hendak pergi, saya tidak akan benarkan dia pergi seorang diri. Saya mahu berasadi sisinya untuk melindunginya," tulis Siti Hasmah dalam bukunya itu.

Sambil mengakui beliau sedikit takut dengan asakan orang ramai apabila pasangan itu tiba di Dataran Merdeka, Siti Hasmah berkata walaupun keadaan itu sedikit kelam-kabut, tetapi beliau faham bahawa orang hanya mahu bersalaman dengan mereka.

Katanya, mereka mahu berarak bersama orang lain dan petugas media pula sering menghalang mereka untuk bertanya soalan.

Mahathir, katanya, telah menjelaskan bahawa mereka bukan ahli BERSIH tetapi berada di sana hanya untuk memberi sokongan mereka kepada rakyat.

Pasangan itu juga berada di sana pada hari kedua perhimpunan tersebut, dengan menaiki Komuter ke Kuala Lumpur.

Menurut Siti Hasmah, perhimpunan ini amat besar dan rakyat benar-benar menunjukkan solidariti mereka,

Perhimpunan selama 34 jam itu yang dianjurkan oleh BERSIH tahun lalu menyaksikan puluhan ribu orang berkumpul di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, antara lain, menggesa pilihan raya yang bersih dan adil,

Autobiografi Siti Hasmah, yang dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-90 beliau, adalah koleksi pengalaman hidupnya, kerjaya dalam bidang perubatan dan pengalaman bersama dengan suaminya.

Buku ini ditulis dengan bantuan sepasukan editor dari Salt Media Group dan diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf.

Buku setebal 248 muka surat itu akan dijual dengan harga RM80 di kedai-kedai buku. Versi Bahasa Malaysia, 'Nama Saya Hasmah', juga akan diterbitkan tidak lama lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS