Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengadil berat sebelah, dakwa jurulatih P Pinang
Diterbitkan:  Jul 24, 2016 12:27 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Biarpun gembira mendapat satu mata ketika berdepan Selangor dalam aksi Liga Super di laman sendiri malam tadi, jurulatih Pulau Pinang, Nenad Bacina kecewa dengan mutu pengadilan.

Bacina berkata pengadil Mohd Amirul Izwan Yaakob memberikan terlalu banyak sepakan percuma yang berpihak kepada skuad The Red Giants.

"Selangor memperoleh lebih kurang 40 ke 50 sepakan percuma berhampiran kotak penalti dan saya rasa ini bukan satu kebetulan.

"Ini menunjukkan sikap berat sebelah pengadil dalam perlawanan itu," katanya yang ditemui selepas perlawanan di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Namun, Bacina tetap berpuas hati dengan aksi pemainnya sehingga mampu mengikat kedudukan 1-1 walaupun berdepan pasukan kuat seperti Selangor yang kini menduduki tangga ketiga liga.

"Saya bangga dengan pemain saya kerana mempamerkan permainan yang baik walaupun bermain dalam hujan lebat dan kondisi padang yang licin," katanya.

Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Kumbang kekal di tangga terakhir daripada 12 pasukan Liga Super selepas mengumpulkan 11 mata, manakala Selangor di tempat ketiga dengan 26 mata.

Dalam perlawanan malam tadi, Pulau Pinang mendahului seawal minit ke-26 menerusi jaringan Seok Min Jeong sebelum pelawat menyamakan kedudukan tujuh minit selepas itu hasil gol pemain import, Patrick Ronaldinho.

Sementara itu, jurulatih The Red Giants, Zainal Abidin Hassan mengakui jentera depan pasukannya agak tumpul sehingga melepaskan banyak peluang menjaringkan gol.

"Pemain juga agak kepenatan. Seperti yang kita tahu, ada pemain yang telah bermain tiga perlawanan secara berterusan," katanya.

Beliau turut mengakui keputusan itu menyebabkan mereka kian tercicir daripada perebutan kejuaraan liga apabila ketinggalan 10 mata daripada pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), dan lapan mata di belakang pasukan tempat kedua, Felda United.

- Bernama

Lihat Komen
ADS