Kerajaan tidak memberi sebarang "immuniti" kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam rasuah "sama ada mereka ikan yu atau ikan kecil", demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, rakyat tidak perlu cemas dengan rencana dalam akhbar antarabangsa, International Herald Tribune (IHT) bertarikh 29 Mac lalu yang memetik Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebagai berkata kononnya kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap kes-kes rasuah yang berlaku sebelum pilihanraya umum tahun lalu.

Menurut laporan Bernama , Nazri menegaskan demikian ketika menjawab soalan ketua pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai perkara tersebut.

Kit Siang ingin tahu mengenai kebenaran kenyataan Khairy dalam akhbar itu bahawa semua kes rasuah lampau diberi pengecualian dan tiada lagi tindakan siasatan akan diambil.

Khairy dipetik sebagai berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membuat keputusan yang beliau tidak akan mengungkit perkara-perkara yang lepas.

Menurut Nazri, rakyat tidak perlu panik dengan laporan itu kerana ia memetik kenyataan oleh Khairy, yang juga menantu Perdana Menteri, yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Advance cell

Sementara itu, Dewan Rakyat juga diberitahu bahawa "Advance cell" di pusat pelupusan Bukit Tagar yang mempunyai kapasiti untuk menampung 630,000 tan sisa pepejal telah mula beroperasi secara percubaan sejak 1 April lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting berkata "advance cell", yang akan menggantikan buat sementara tapak pelupusan sisa pepejal di Air Hitam, Puchong yang akan tamat operasinya pada 15 April ini, dijangka beroperasi sepenuhnya setelah operasi percubaan dijalankan dalam tempoh seminggu.

Syarikat KUB Berjaya Enviro Sdn Bhd (KBESB), yang diberikan projek penswastaan pusat pelupusan sisa pepejal Bukit Tagar, telah diarahkan membina dan menyiapkan "advance cell" ini sebelum syarat dan terma projek penswastaan pusat pelupusan itu dimuktamadkan, katanya semasa menjawab soalan asal dan tambahan Mohd Daud Tarihep (BN-Kuala Selangor).

Menurut laporan Bernama , beliau berkata selain itu, lebuh raya bertingkat di KM419.1 Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) akan dibina untuk mengurangkan kesesakan di jalan-jalan biasa bagi lori-lori mengangkut sisa pepejal ini.

Ong berkata pusat pelupusan Bukit Tagar "bukan satu-satu sanitary landfill yang akan mengambil semua sisa pepejal dari Selangor dan Kuala Lumpur."

Projek insinerator di Broga, yang sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah, akan bertanggungjawab dalam merawat sisa pepejal daripada kawasan selatan Selangor dan Kuala Lumpur, katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak akan kompromi demi keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar kawasan Bukit Tagar dengan memastikan syarikat KBESB mematuhi syarat alam sekitar yang ditetapkan.