Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan kerana 1MDB, negara seolah-olah akan tumbang - KSU
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 6:54 PM
Dikemaskini: 11:29 AM

Jangan biarkan suara-suara negatif yang dikaitkan dengan masalah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) meruntuhkan kekuatan yang dibina negara selama ini hingga menjejaskan minat pedagang dan pelabur, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Sebaliknya aspek positif mengenai negara perlu diketengahkan dan kekuatan sektor yang ada di Malaysia harus diperlihatkan kepada orang luar, katanya.

"Kita tidak mahu negara yang kita bina ini runtuh kerana masalah-masalah yang sedang kita hadapi termasuk 'negative noise' kerana orang luar yang mahu berdagang dengan kita tentu akan terfikir mengenai perkara itu.

"Jadi sebab itu kita harus memberi aspek positif berkenaan negara kita berbanding kita fokus kepada aspek negatif kerana tiada negara yang tiada negatif, tetapi mereka selalu akan ketengahkan perkara yang baik," kata Irwan Serigar.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-11, hari ini, berkata bukan semua syarikat menguntungkan, dan mungkin ada "satu dua" syarikat yang mempunyai masalah tadbir urus, pengurusan dan perkara lain yang tidak diingini.

"Tetapi kita boleh ambil beratus-ratus lagi syarikat lain yang untung berbilion-bilion di bawah Khazanah dan sebagainya... yang itu orang tak nak nilai, tetapi masalah 1MDB telah 'camouflage' seluruh negara, seolah-olah negara akan tumbang," katanya.

Bagaimanapun, katanya, meskipun banyak suara-suara negatif mengenai 1MDB, terbitan sukuk kerajaan Malaysia baru-baru ini masih menerima sambutan menggalakkan yang menunjukkan bahawa masih ada kepercayaan terhadap ekonomi negara.

Kerajaan Malaysia pada April tahun ini menerbitkan sukuk bernilai US$1.5 bilion menerusi entiti tujuan khas, Malaysia Sukuk Global Bhd, yang terlebih langgan 4.2 kali.

Dalam pada itu, Irwan Siregar menggesa pelabur Malaysia agar mengalih tumpuan kepada pasaran baharu seperti di India dan Timur Tengah yang sedang mencatatkan pertumbuhan ekonomi mapan.

"Kita perlu cari peluang-peluang untuk menembusi pasaran di India yang mana golongan kelas berpendapatan sederhana sedang berkembang di sana berbanding pertumbuhan perlahan di pasaran tradisi kita iaitu China," katanya.

Menurutnya, strategi dan usaha juga perlu difokuskan untuk menembusi pasaran negara Timur Tengah terutamanya dalam industri produk halal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS