Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bebas Sanjeevan dari Poca, Suhakam puji kehakiman
Diterbitkan:  Jul 28, 2016 12:17 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini memuji badan kehakiman kerana memastikan tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) mengikut proses sepatutnya.

Ini selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa mengisytiharkan tahanan reman terhadap Pengerusi Pasukan bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) R Sri Sanjeevan di bawah akta itu sebagai batal dan tidak sah.

"Dalam kes ini, suruhanjaya memuji badan kehakiman kerana memainkan peranan penting dalam memastikan tahanan di bawah Poca mengikut proses yang sewajarnya," kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Poca membenarkan penahanan tanpa bicara dan menafikan hak individu diwakili peguam, yang bertentangan dengan piawaian hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Ketika undang-undang yang berkesan diperlukan untuk memerangi jenayah dan membawa penjenayah ke muka pengadilan, mereka mesti disertakan dengan perlindungan yang ketat untuk mencegah penyalahgunaan undang-undang, katanya.

"Suruhanjaya ini mengulangi saranannya kepada kerajaan untuk mengkaji semula semua undang-undang yang memperuntukkan penahanan tanpa perbicaraan, termasuk Poca, dengan tujuan untuk menjadikan ia selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia.

"Suhakam bersedia untuk menyediakan rumusan yang membina untuk menangani secara berkesan dengan akauntabiliti dan untuk memastikan kebajikan dan maruah orang yang ditahan," katanya.

Sanjeevan dibebaskan semalam selepas membayar RM18,000 ikat jamin di Mahkamah Sesyen dan Majistret Seremban.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Selasa lalu mendapati bahawa waran untuk menahan beliau di pusat reman polis di Jalan Ipoh, adalah cacat.

Sanjeevan didakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 Julai kerana mengambil warga asing untuk bekerja tanpa permit yang sah.

Beliau juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret kerana memeras ugut sebanyak RM25,000 daripada seorang pemilik perjudian haram.

Sanjeevan pertama kali ditangkap di Nilai pada 22 Jun dan berada dalam tahanan polis sehingga semalam. Beliau dibebaskan dan ditahan semula sebanyak lapan kali sebelum ditahan reman di bawah Poca.

Lihat Komen
ADS