Paling Popular
Terkini

Walaupun Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 akan berkuat kuasa tidak lama lagi, namun masih ada yang tidak
tahu, kurang jelas serta kurang pendedahan tentang akta yang antaranya akan memberi kuasa mengisytihar darurat kepada Majlis Keselamatan Negara yang diketuai perdana menteri.

"Saya tak tahu (tentang Akta MKN). Sebab saya rasa tak ada kena mengena dengan saya kot," kata Kamal Afiq Mustapa Kamal, 28, kepada Malaysiakini.

Namun, bagi pihak yang pernah mendengar mengenai kewujudan akta berkenaan, ada yang kurang setuju undang-undang tersebut dilaksanakan.

Bagi Zulfazli Mansor, 31, beliau dia tidak mengetahui secara lanjut mengenai akta berkenaan kerana mendakwa ia kurang didedahkan di media.

Bagaimanapun, katanya, akta tersebut mempunyai baik dan buruk sekiranya ia dikuatkuasakan.

"Saya tak tahu sangat mengenai akta ini sebab saya rasa tak banyak media tulis mengenai benda ini.

"Tapi saya rasa akta ini ada baik dan buruknya. Ia bergantung kepada isu contohnya kalau isu pengganas, ok kalau guna akta ini. Tapi kalau hal lain, saya tak berapa pasti.

"Sebab saya takut juga kalau tiba-tiba saya ditangkap tanpa diberikan peluang untuk diadili. Bagi saya akta ini 50-50. Ada baik dan buruk," kata Zulfazli.

Bagi Ismadi Alias, 45, pula beliau kurang 'jelas' dengan undang-undang berkenaan. Jelas Ismadi, apa yang lebih dibimbanginya ialah isu kos sara hidup yang kini semakin meningkat dan membebankan.

"Tahu (mengenai akta MKN) macam itu sajalah. Lebih lanjut dan sejauh mana pelaksanaannya saya kurang jelas.

"(Sama ada) bimbang (dengan akta MKN) itu susah nak cakap, sebab kita tak nampak lagi apa fungsi akta itu. Cuma saya
lebih memikirkan soal kos sara hidup hari ini yang menjadi beban rakyat," katanya.

Seorang pekerja swasta, Mohamad Khir Mohamad, 58, berkata sebagai rakyat dia ingin mendapatkan penjelasan terperinci
berhubung undang-undang yang diluluskan di Parlimen pada Disember tahun lalu itu.

"Susah nak cakap sebab ini soal kuasa, ia perlukan penjelasan terperinci sebab saya pun baru dengar tentang perkara ini,"
katanya.

Sidi Yusof, 27, pula memberitahu bahawa beliau hanya tahu serba sedikit mengenai akta berkenaan.

Namun, apa yang menjadi kebimbangannya ialah sekiranya undang-undang itu bakal menjadi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika pesalah ditahan tanpa dibicarakan.

"Saya tahu sikit, dia macam ISA. Kita bimbang dengan akta MKN ini sebab bagi saya, boleh jadi akan disalah guna sebab ia tak berikan penghakiman sewajarnya.

"Saya rasa perlu kaji lebih lanjut baru laksanakannya," ujarnya.

Sementara itu, bagi Abdullah Bakar, 67, akta yang bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan untuk menjaga keselamatan rakyat negara ini adalah amat diperlukan.

Malah, katanya, akta itu juga perlu di negara ini bagi mengelak ada pihak melakukan perkara yang tidak diingini dengan sesuka hati seperti yang berlaku di negara jiran sebelum ini di mana rakyatnya mengadakan demonstrasi besar-besaran di Bangkok.

"Saya rasa akta ini ok, bagus ada. Kalau tak nanti masing-masing buat sesuka hati macam apa yang berlaku di Thailand,"
kata Abdullah yang merupakan seorang pesara.

Akta MKN diluluskan di Parlimen pada 3 Disember tahun lalu dengan undi suara majoriti, tanpa sebarang pindaan.
Bagaimanapun, ia mendapat bantahan keras daripada wakil rakyat pembangkang serta beberapa NGO.

Antara yang menjadi kebimbangan ialah rang undang-undang itu dilihat akan menghakis kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.

Rang undang-undang itu antara lain, memberi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebagai pengerusi majlis MKN, kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai "zon keselamatan" dengan hanya kelulusan anggota majlis itu.

Di bawah zon keselamatan, pasukan keselamatan akan dibenarkan untuk membuat tangkapan, mengawal pergerakan, menahan atau memindah suspek, menyita dan menggeledah, merampas atau memusnahkan harta serta mengetepikan inkues dikemukakan pihak berkaitan.

Tindakan mereka hanya boleh dicabar jika mahkamah memutuskan ia dilakukan dengan "niat jahat".

Bagi pengkritik pula, rang undang-undang itu juga dilihat mencerobohi kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan keadaan darurat. Mereka juga khuatir akta baru itu akan digunakan khususnya untuk bertindak tegas ke atas kumpulan atau individu yang tidak bersependapat dengan kerajaan.

Tetapi, Najib berkata, 'penjaja ketakutan' bermotif politik sengaja menyalahtafsir undang-undang keselamatan baru itu.

Kata Najib, undang-undang berkenaan tidak sama dengan pengisytiharan darurat -seperti didakwa pengkritik- kerana masih berada di tangan Yang di-Pertuan Aging.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata Rang Undang-undang MKN tidak mempunyai tujuan politik atau untuk memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri.

Sebaliknya, beliau berkata rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat itu bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan dari segi menjaga keselamatan rakyat negara ini secara keseluruhan.

Lihat Komen
ADS