Azmin puji Guan Eng kerana batalkan pilihan raya PP
PKR mengalu-alukan keputusan DAP untuk tidak mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang, menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau yang juga menteri besar Selangor berkata, keputusan ini memperlihatkan ketokohan Lim Guan Eng sebagai pemimpin nasional yang memiliki sikap keterbukaan dan semangat toleransi yang tinggi sehingga mencapai keputusan sebegini.
"Keputusan seperti ini yang menyerlahkan semangat muafakat Pakatan Harapan. Saya memahami ia adalah satu keputusan yang sukar.
"Namun, dengan mengutamakan semangat muafakat ini, Lim telah memberikan kepimpinan yang amat diperlukan bagi membangun semula kesatuan dan perpaduan parti-parti pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lim pagi tadi mengadakan sidang akhbar membatalkan rancangan DAP untuk mengadakan pilihan raya mengejut kerana cadangan tersebut tidak mendapat restu PKR.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, pihaknya yakin keputusan tersebut akan diterima baik bukan saja oleh rakyat Pulau Pinang, tetapi juga oleh semua rakyat Malaysia.
Katanya, ia merupakan satu detik baharu ke arah perpaduan seluruh rakyat yang dahagakan perubahan.
"Malaysia kini berhadapan dengan kemelut dashyat akibat daripada kedurjanaan tatakelola kewangan yang menghasilkan musibah sebesar 1MDB.
"Justeru, semangat dan iltizam baru ini perlu digembeleng demi menyelamatkan Malaysia," jelasnya lagi.

