Umno PP tidak terkejut Guan Eng batal pilihan raya
Kegagalan DAP meyakinkan PKR untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) menunjukkan bahawa tiada kesepakatan dalam Pakatan Harapan, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Beliau berkata UMNO Pulau Pinang tidak terkejut dengan keputusan DAP untuk tidak meneruskan hasrat mengadakan PRN lebih awal berikutan kegagalan untuk mendapatkan kata sepakat dan persetujuan daripada sekutunya.
"Percakaran dan pertengkaran antara beberapa pemimpin tinggi DAP dan PKR di media adalah bukti ketidaksefahaman mereka dalam isu PRN. Masing-masing parti dengan agenda politik mereka sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini bahawa DAP tidak akan meneruskan cadangan mereka untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan pilihan raya mengejut setelah tidak mendapat sokongan rakan Pakatan mereka, PKR, yang bimbang kehilangan lebih banyak kerusi daripada DAP.
Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata UMNO Pulau Pinang sekali lagi menegaskan Lim perlu secara hormat meletakkan jawatan sebagai ketua menteri setelah pertuduhan jenayah rasuah terhadapnya dibawa ke mahkamah.
"Lim juga perlu berundur kerana telah gagal untuk meyakinkan rakan-rakan politiknya untuk bersetuju dengan cadangan beliau mengadakan 'snap poll' yang kini dibatalkan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Teng Chang Yeow berkata, ketua menteri meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap PKR berikutan keputusan untuk tidak mengadakan pilihan raya mengejut.
"Adakah permintaan PKR supaya diberi lebih banyak kerusi merupakan faktor terpenting berbanding menyelamatkan Malaysia, dalam penentuan untuk mengadakan pilihan raya mengejut oleh ketua menteri?
"Saya hanya dapat menyimpulkan bahawa DAP adalah 'pelayan' dalam Pakatan Harapan. DAP mempunyai lebih banyak kerusi berbanding PKR tetapi mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat sendiri keputusan.
Seperti juga 'pelayan', yang nampak seperti menguasai keadaan namun hakikatnya tidak mempunyai kuasa," katanya dalam kenyataan.
Teng berkata daripada mengadakan pilihan raya mengejut untuk memastikan mandat penduduk Pulau Pinang kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan, beliau mencadangkan supaya persidangan khas Dewan Undangan Negeri diadakan untuk meluluskan undi percaya terhadap ketua menteri.
"Sekiranya undi percaya ini diluluskan, Lim boleh terus menjadi ketua menteri sementara menunggu perbicaraan kes beliau," katanya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim pula menyifatkan keputusan Lim membatalkan hasrat untuk mengadakan pilihan raya negeri membuktikan bahawa DAP mengakui Barisan Nasional (BN) masih cukup relevan dan terus mendapat sokongan serta mandat daripada rakyat.
"Selain itu, keputusan ini memperlihatkan bahawa DAP sedar mereka tidak mampu berdiri sendiri serta gagal mencapai konsensus dalam pengagihan kerusi DUN Pulau Pinang.
"Agak melucukan apabila DAP meletakkan kegagalan mengadakan pilihan raya negeri ini di bahu parti PKR sedangkan mereka dilihat cukup dominan dalam Pakatan Harapan," katanya dalam kenyataan.
Rafizal berkata Pemuda UMNO Pulau Pinang juga berpendapat pilihan raya itu tidak diteruskan kerana DAP menyedari ia akan menguntungkan BN malah mungkin menyebabkan Pulau Pinang kembali menjadi milik BN.
Katanya BN berada dalam keadaan cukup selesa untuk menghadapi pilihan raya negeri dan sekali gus memenangi kerusi tambahan DUN di Pulau Pinang.
- Bernama

