Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

ULASAN Daun ketum tidaklah sepopular daun popi. Sasterawan Negara, Usman Awang pernah merakamkan bunga popi dalam sajaknya yang bertajuk “Bunga Popi” yang dicipta pada 1955. Melalui puisi itu beliau melahirkan kekecewaan kerana peperangan sesama manusia.

Dipilihnya bunga popi yang tumbuh meliar di sepanjang banjaran Himalaya. Mengapa Usman Awang tidak pilih daun ketum dalam sajaknya? Daun ketum tidak ramai yang tahu agaknya.

Daun ketum - seperti juga daun popi - adalah sejenis tumbuhan yang mempunyai kandungan menghayalkan jika disalah guna. Namun pada kadar penggunaan biasa, daun ketum berfungsi menghilangkan kesakitan, kelenguhan dan menambah tenaga. Ia perubatan tradisional sejak zaman berzaman.

Apa pun jika ada unsur-unsur penyalahgunaan, ia memang memudaratkan. Samalah seperti motosikal, ia memberi manfaat kepada ramai orang terutama yang berpendapatan rendah atau orang kampung.

Tetapi motosikal jika disalah guna - seperti untuk merempit hingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain - apakah perlu kita haramkan kenderaan itu?

Yang salah adalah perbuatan menyalah guna, bukan motosikal. Ia berkait dengan persoalan sikap.

Minggu lepas, dalam kemeriahan hari raya masih ada tiba-tiba "Risda Official 1” melontarkan mercun idea yang bikin panas sebentar. Hampir kita terlupa cerita penuh misteri “Malaysian Official 1”.

Beliau mencadangkan agar Risda diberi kebenaran mendapatkan manfaat daun ketum secara komersial.

Orang nombor satu Risda itu berkata, daun ketum ada nilai pasaran antarabangsa yang tinggi dan boleh menambahkan pendapatan pekebun-pekebun getah.

Sebagai respon daripada kenyataan itu, orang ‘nombor satu polis Malaysia’ pun memberi pandangan. Beliau berkata memang tiada kesalahan menanam pokok ketum kerana ia tiada termaktub dalam undang-undang.

Yang menjadi kesalahan katanya adalah aktiviti memetik, memproses dan mengedar daun ketum.

Aku pun berkali-kali membaca berita itu. Ini bukan sajak kabur. Boleh tanam tapi tidak boleh petik. Membingungkan.

Selama ini, habis pokok ketum orang kampung dimusnahkan oleh pihak penguat kuasa dan pihak yang ada kuasa. Hanya orang kampung yang tanam pokok ketum di tanah atau di kebun mereka.

Jika diberikan kebenaran memproses, mengedar atau menjual daun ketum, ramai orang kampung akan jadi saudagar daun ketum. Ramai yang akan tinggalkan kerja menoreh pagi-pagi buta. Jual daun ketum lebih menguntungkan.

Minuman zaman berzaman

Dulu ada seorang makcik yang jual air ketum dibawa ke mahkamah kerana menjual air ketum sebungkus RM1 kepada budak-budak muda kampung.

Makcik itu hanya mengambil inisiatif melakukan dua tiga kerja sekali gus sebagai jalan menambah pendapatan keluarga. Idea geliga Ahmad Maslan memang memberi inspirasi ramai orang kampung macam makcik (yang aku lupa namanya) itu.

Dia mengurus rumahtangga - yang tiada memberikan pendapatan satu sen pun - pada waktu pagi, menjual air ketum sambil menjaja pisang goreng di tepi jalan pada waktu petang.

Malam dia mengejar mimpi. Siang mencari erti. Benarlah Jamal Abdillah berpesan dengan lagunya itu.

"Mailah rasa sikit ayaq ni," kata Bang Haji Zali sambil menyogokkan satu termos China bersama cawan kosong kepada aku.

"Air apa ni?" Aku tanya.

"Ayaq ketum," jawab Bang Haji Zali sambil menuangkan air berwarna seperti kopi cair ke dalam cawan kosong yang ada di hadapan aku.

"Buat apa air ni?" tanyaku lurus bendul.

Bang Haji Zali tersenyum memandang rakan-rakannya yang ada di meja kedai kopi Kak Nah.

"Ayaq nilah bagi penguat badan yang letih membanting tulang empat kerat," loghat Kedahnya cukup pekat walaupun dah berpuluh-puluh tahun tinggal di Perak.

‘Rasanya, macam mana?" aku tanya lagi.

"Rasa dulu, baru tahu!" balasnya sambil yang lain-lain ketawa beramai-ramai. Aku cuak dan bimbang. Aku menolak cawan itu ke tepi Pak Cik Mail yang ada sebelah. Dia dengan senang hati menerima tanpa soal.

Itu cerita dulu-dulu tatkala aku mengisi masa kosong di kampung. Memang bagi orang kampung, kedai kopi adalah medan berbual selepas sepanjang siang bekerja keras di bendang atau di kebun.

Khasiat daun ketum sejak zaman berzaman diketahui orang Melayu di kampung. Ia digunakan sebagai herba ubatan atau minuman kesihatan mereka.

Di sekeliling rumah kampung, semua tumbuh-tumbuhan ada khasiatnya yang tersendiri.

Risda ditubuhkan untuk membantu orang kampung terutama para pekebun kecil yang bermastautin di tempat atau pinggir hutan.

Harga getah kini memang merundum habis. Terduduk orang kampung dibuatnya. Pekebun kecil Melayu pun ada menyimpan impian ingin kaya walaupun mereka tidaklah berangan-angan sehingga sekaya Jho Low atau Riza Aziz.

Jangan cepat berangan
 

Wajarkah Risda diberi kelulusan atau permit daripada kerajaan untuk mengkomersialkan ketum? Dan apakah dengan cara ini ekonomi orang kampung boleh dibantu bagi melahirkan saudagar-saudagar daun ketum bertaraf antarabangsa?

Persoalan lain, andaikanlah kerajaan membenarkan Risda menanam, memetik dan menjual daun ketum, apakah orang kampung boleh menjadi saudagar daun ketum dan menjadi kaya?

Aku menyokong penuh langkah membenarkan ketum dijadikan bahan eksport untuk perubatan. Setidak-tidaknya kita menyumbangkan ke arah masyarakat yang sihat dan menjana pendapatan orang kampung.

Daun ketum ibarat lubuk emas bagi orang kampung. Namun jika daun ketum dibenarkan dijual nanti, orang kampung jangan cepat berangan tinggi. Jangan.

Biasanya benda-benda yang menguntungkan begini, kebenarannya datang dengan bersyarat, terhad. Kelulusan lazimnya hanya kepada kelompok-kelompok tertentu saja melalui kewujudan kuota, permit atau pun mungkin monopoli.

Inilah cara pihak kapitalis mengikat keuntungan di sekitar perut dan tembolok kelompok mereka saja.

Bagaimana mereka boleh mencipta seribu satu alasan untuk menghalang, menyekat atau mengharamkan sesuatu, mereka juga mampu mencipta seribu satu alasan untuk membenarkan perkara sama untuk golongan yang mereka ingini.

Lihat saja, politik perniagaan syarikat-syarikat ditubuhkan kerajaan. Lembaga Tabung Haji menaja orang kampung menunaikan haji percuma saban tahun, tetapi pada masa sama berjuta-juta ringgit didakwa dikaut melalui jalan lain.

Dua kali lima saja dengan Felda, Felcra, MARA, MAS, dan syarikat-syarikat lain ‘Melayu’. Berdegar-degar mendakwa bahawa perjuangan mereka adalah demi orang Melayu atau orang kampung dan golongan miskin.

Sewaktu mahu mendapatkan kelulusan, habis dijual nama Melayu sebagai faktor pendorong kerajaan membuat keputusan. Bersoraklah sekampung orang Melayu gembira.

Ini adalah sebahagian episod ayam menang sabung, kampung habis tergadai. Orang kampung hanya mendapat nama, namun untung berbukit ada pada poket orang lain.

Alahai nasib malang kamulah orang kampung!


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah dan penulis.

Lihat Komen
ADS