Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini memutuskan untuk mempertimbangkan meminda peraturan tetap kerajaan negeri itu, melalui cadangan yang telah diusulkan tanpa perbahasan oleh jawatankuasa peraturan tetap.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh berkata pindaan tersebut dibuat bagi membolehkan ketua pembangkang mempunyai masa yang tetap untuk berucap di dalam sidang DUN Selangor.

"Kami sedang dalam pertimbangan untuk meminda peraturan tetap, salah satu pindaan yang kita ingin buat ialah untuk memperkenalkan ucapan ketua pembangkang.

"Ini cadangan pertama yang kita nak pinda buat masa ini, ucapan ketua pembangkang kita tidak ada slot khas untuk itu," kata Hannah dalam sidang media selepas sidang DUN Selangor berhenti rehat.

Hannah yang juga ADUN Subang Jaya berkata menurut cadangan pindaan Peraturan Tetap 13, ketua pembangkang hanya boleh memberikan ucapan dalam DUN mengikut teks ucapan yang dihantar terlebih dahulu kepada Speaker, tidak kurang dua hari sebelum persidangan berlangsung.

“Teks ucapan itu tidak melebihi satu ribu perkataan dan hendaklah berkenaan dengan apa-apa perkara tadbir dalam tanggungjawab menteri besar dan perkara itu belum dibincangkan dalam mesyuarat yang sama dan menteri besar bolehlah menjawabnya,” kata Hannah.

Kata Hannah sebelum ini kapasiti ketua pembangkang untuk berucap dalam perbahasan atau mengemukakan usul tertakluk kepada budi bicara Speaker DUN.

"Ruang untuk ketua pembangkang berucap bagus agar mereka dapat ruang untuk bercakap. Kedua adalah tentang deklarasi harta," kata Hannah.

Menurut Hannah, dalam peraturan tetap DUN menetapkan bidang kuasa jawatankuasa hak dan kebebasan justeru untuk keperluan tersebut beliau membuat cadangan itu.

"Sekarang kita mahu menambah satu lagi tugas jawatankuasa ini iaitu untuk melihat menimbangkan deklarasi kepentingan kepentingan kewangan oleh semua ADUN.

“Deklarasi harta di Selangor hanya tertumpu kepada exco sahaja buat masa sekarang, ini satu cadangan baru yang jawatankuasa peraturan tetap nak buat untuk menambah baik lagi akuantibiliti dan ketelusan semua ADUN Selangor.

“Kalau nak pinda peraturan tetap kena bentang dua kali, penyata kali pertama kita luluskan melalui notis atas meja kepada semua ADUN dan tidak ada perbahasan,” kata Hannah.