Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DOJ: Mengapa pemerhati, bukan pencelah - AMANAH
Diterbitkan:  Aug 2, 2016 10:46 AM
Dikemaskini: 9:10 AM

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil menyifatkan cadangan Jabatan Peguam Negara untuk menghantar peguam pemerhati di dalam prosiding saman sivil di Amerika Syarikat yang difailkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) adalah tidak memadai dalam usaha menangani skandal 1MDB.

"Peguam pemerhati yang dikenali sebagai 'watching brief' adalah pihak yang hanya dibenarkan menyertai prosiding saman sivil itu untuk bertanya beberapa soalan seperti mana yang diumumkan oleh peguam negara.

"Namun, kerajaan Malaysia mempunyai kepentingan terus dan berhak menuntut aset-aset di dalam prosiding tersebut," kata Faiz dalam kenyataannya, hari ini.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, beliau sedang mempertimbangkan cadangan menghantar wakil sebagai peguam pemerhati dalam pendengaran saman sivil yang difailkan oleh DOJ Amerika Syarikat kira-kira dua minggu lalu.

Ini, ujar Mohamed Apandi, tindakan menyita dan merampas aset berkaitan 1MDB itu membabitkan sebuah syarikat milik negara dengan kepentingan Malaysia.

"Saya sedang memikirkan idea untuk menghantar wakil di sana kerana kita mahu nyatakan minat kami. Jika kamu ingin beri wang kepada kami, kami mahu dengar," katanya.

"Saya dan pegawai saya akan hadir bagi mengikuti prosiding itu. Bagaimanapun, saya akan berunding dengan pendakwa raya di sana kerana ia sama sekali prosedur baru dengan sistem (kehakiman dan undang-undang) Amerika," katanya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, sepatutnya peguam negara menasihatkan kerajaan Malaysia untuk memfailkan permohonan mencelah atau 'intervener' di mana kerajaan Malaysia menjadi pihak di dalam prosiding tersebut bagi melindungi dan mempertahankan hak Malaysia ke atas aset-aset yang mahu disita dan dirampas.

"Perkara ini adalah penting memandangkan fakta-fakta yang dibentangkan di dalam kertas kausa 'civil forfeiture' tersebut melibatkan kesalahan pengubahan wang haram akibat perbuatan jenayah mencuri wang 1MDB.

"Oleh kerana 1MDB adalah syarikat milik negara, maka kerajaan Malaysia mempunyai hak ke atas harta-harta terlibat dalam prosiding tersebut. Apatah lagi, nama 'Malaysian Official 1' telah disebut sebagai individu yang terlibat dalam skandal pengubahan wang haram ini," jelas beliau.

Lihat Komen
ADS