'Tak sokong Pota, Poca, jawapan semalam silap'
Kerajaan Selangor tidak menerima penggunaan Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 2013 (POCA) di negeri berkenaan untuk mencegah penularan fahaman dan gerakan militan.
Exco hal ehwal Islam, adat Melayu dan pembangunan desa Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menjelaskan jawapan bertulisnya kepada dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam terdapat “kekeliruan”.
“Memang ada (guna) perkataan sokong di situ, tetapi itu tidak menjadi prinsip dan kami terlepas pandang dalam jawapan bertulis yang dihantar kepada dewan," katanya dalam sidang media di lobi DUN di Shah Alam hari ini.
Beliau menegaskan perlunya prinsip keadilan melalui perbicaraan.
Semalam Yunus dilaporkan berkata kerajaan negeri Selangor akur bahawa penggunaan Pota dan Poca adalah langkah terbaik untuk mencegah elemen keganasan di negara ini.
Jawapan itu diberikan ketika menjawab soalan anggota DUN (ADUN) BN Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak dalam sesi hari pertama sidang DUN semalam.
Mengulas usaha negeri, ADUN Sijangkang daripada PAS itu berkata, mereka telah mengambil pelbagai pendekatan bersepadu menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di seluruh mukim bagi mengekang kegiatan itu.
Manakala dalam konteks kerajaan negeri pula, Jabatan Mufti telah pun mengeluarkan fatwa mengharamkan gerakan militan IS pada Februari lalu, kata Yunus.
"Dalam jawapan tersebut jelas saya katakan bahawa prinsip keadilan dalam perbicaraan harus ditekankan di situ.
“Itu pun akta yang kita ada dan kita terpaksa akur dengan kelulusan yang telah diluluskan oleh parlimen.
"Kita tidak sokong, saya sebutkan sekali prinsip kita adalah mengenai keadilan melalui perbicaraan," katanya lagi.

