'Kenapa mahu kajian terowong, kami minta jambatan ketiga'
Kerajaan Negeri Pulau Pinang hairan atas tindakan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang meminta kajian kebolehlaksanaan bagi projek terowong bawah dasar laut sedangkan kerajaan negeri meminta kelulusan bagi jambatan ketiga.
"Kerajaan negeri kurang faham logik yang berhormat datuk seri yang perlukan kajian kebolehlaksanaan projek terowong bawah dasar laut sedangkan ia tiada kaitan dengan jambatan ketiga.
"Yang diminta oleh kerajaan negeri adalah kelulusan bagi jambatan ketiga dan bukannya terowong bawah dasar laut," kata Lim dalam suratnya kepada Fadillah hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri akan mematuhi permintaan kementerian dan akan mengemukakan laporan kebolehlaksanaan projek terowong bawah dasar laut dan laporan rekabentuk seperti diminta.
Pada masa ini, Lim berkata, kajian itu adalah 83 peratus siap dan akan selesai pada akhir tahun ini atau awal tahun depan selewat-lewatnya.
Surat Lim adalah jawapan kepada surat daripada kementerian pada 25 Julai lalu.
Ketua menteri itu berharap kementerian tersebut boleh meluluskan cadangan pembinaan projek jambatan ketiga secara prinsip supaya kerajaan negeri dapat mengambil tindakan sewajarnya ke arah merealisasikan pelaksanaan projek tersebut.
Sebelum ini kerajaan Pulau Pinang berhasrat membina jambatan ketiga tanpa tol, yang akan menjadi jambatan pertama seumpamanya di Malaysia.
Ia bagi mempertingkatkan sistem pengangkutan moden yang menghubungkan Seberang Perai Utara (SPU) dengan kawasan Pulau sebagai satu inisiatif penambahbaikan perhubungan sedia ada dan membawa pembangunan seimbang di kawasan SPU.

