Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN I Industri persurat khabaran tempatan dikejutkan dengan berita ketidak mampuan sebuah syarikat akhbar berbahasa Melayu untuk membayar gaji kakitangan jabatan pengarangnya mengikut tarikh pembayaran yang sepatutnya.

'Tragedi' tersebut, yang berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan syarikat berusia tujuh dekad itu pastinya membuka mata banyak pihak terutama pemilik selain kakitangan yang mula meragui masa depan untuk terus bersamanya.

Di samping itu, ramai juga di kalangan bekas kakitangan akhbar itu yang sedih, bersimpati dengan nasib rakan mereka yang masih lagi menyara kehidupan hasil pendapatan bulanan dengan bekerja di syarikat berkenaan.

Masakan tidak, jika benarpun alasan untuk melakukan pelaburan tertentu, pastinya syarikat telah memperuntukkan sejumlah dana untuk membayar gaji sekurang-sekurangnya untuk tempoh yang memadai kerana itulah tanggungjawab utama sesebuah firma dalam menjalankan perniagaan selain menjual produknya.

Jika benarpun syarikat mahu membuat pelaburan demi meraih keuntungan, dana tersebut tentunya adalah lebihan yang ada setelah kos operasi syarikat seperti pembelian kertas dan pembayaran gaji kesemua kakitangan telah diambil kira dan didahulukan mengatasi segala keperluan lain.

Keadaan ini, secara langsung, mencerminkan 'sakit yang kronik' dalam kedudukan kewangan syarikat setelah bertahun-tahun lamanya dilanda masalah kerugian yang tidak pernah berjaya diatasi, yang termampu dilakukan hanya mengurangkan kerugian bukan menjana keuntungan.

Walaupun kesatuan sekerja syarikat itu mengakui bukan mudah untuk 'membersihkan' tahi peninggalan pengurusan lama, namun jangan dilupakan juga strategi pengurusan baru belum tentu mampu melakukan keajaiban dengan segala kekangan dan sekatan yang ada.

Penyelesaian jangka pendek

Untuk penyelesaian jangka pendeknya, mungkin pemilik syarikat itu yang merupakan sebuah parti politik tertua di Malaysia boleh menyuntik dana segera bagi menenangkan kegelisahan pengurusan dan kakitangan mengenai soal bayaran gaji pada bulan-bulan yang mendatang.

Namun, walaupun telah banyak kali telah diberikan suntikan dana, formula penyelesaian jangka pendek itu tidak mampu untuk mengeluarkan syarikat akhbar arus perdana tersebut dari belenggu masalah kewangan, apatah lagi menyelamatkannya dari berdepan risiko diletakkan di bawah Nota Amalan 4/2001 (PN4) Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Menurut laman web Suruhanjaya Sekuriti, syarikat PN4 merujuk kepada syarikat tersenarai yang menghadapi masalah untuk memenuhi syarat kewangan untuk terus didagangkan dan disenaraikan di BSKL.

Khabarnya, pendapatan syarikat tersebut juga dikatakan terjejas kerana industri pengiklanan yang rata-rata didominasi oleh peniaga bukan Melayu enggan untuk membeli ruang iklan dalam akhbar berbahasa Melayu itu.

Keengganan tersebut ada rasionalnya dan berlandaskan kepada kredibiliti akhbar-akhbar keluarannya yang saban hari berdepan dengan pelbagai tindakan saman yang kebanyakannya dimenangi oleh pihak yang menyaman.

Dari segi tanggungjawab sosial pula, akhbar tersebut terus dipinggirkan dari pilihan pembelian iklan kerana dilihat cenderung untuk memainkan isu perkauman yang akhirnya boleh mendatangkan keburukan dalam aspek perpaduan kaum di negara berbilang bangsa Malaysia.

Penyelesaian jangka panjang

Oleh itu, apa yang lebih penting ialah survival syarikat itu untuk jangka masa panjang demi terus menjadi 'periuk nasi' wartawan-wartawan berbangsa Melayu dan mengekalkan kemegahan jenama akhbar itu yang bukan setahun jagung dalam industri media tempatan.

Jabatan pengarangnya hebat tulisan, cukup berbakat dan kreatif dalam menghidu berita berbanding para wartawan portal berita namun apakan daya jika tidak semua berita dapat disiarkan ekoran tapisan pelbagai lapisan yang diwujudkan.

Untuk survival jangka panjang, mahu atau tidak, suka atau tidak satu-satu pilihan yang ada ialah membebaskan akhbar arus perdana dari cengkaman dan kawalan parti politik.

Akhbar arus perdana harus berdiri bebas dengan diberikan ruang yang secukupnya kepada jabatan pengarang untuk menyiarkan berita-berita yang seimbang, tidak berat sebelah, adil untuk mereka yang menuduh dan dituduh serta hak untuk menjawab.

Sebagai contoh, rakyat terutama di kawasan-kawasan pendalaman terpinga-pinga dengan berita 'berat sebelah' menerusi kenyataan oleh beberapa pemimpin kerajaan mengenai tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat ke atas 1MDB.

Kebanyakan akhbar arus perdana tidak menyiarkan isu pokok iaitu pendedahan DOJ itu menerusi sidang media lewat tengah malam dan sebaliknya hanya mendengar berita-berita bersifat penafian dan tuduhan sebelah pihak dari para pemimpin kerajaan.

Ekoran masyarakat pembaca tempatan dinafikan hak untuk mendapatkan berita yang lengkap, seimbang dan tidak berat sebelah itu, mereka menjadi terpinga-pinga dan akhirnya tidak berkemampuan untuk mendapat maklumat yang tepat dalam melaksanakan hak sebagai pengundi.

Saingan oleh portal berita

Hari ini, terutama selepas tumbuhnya banyak portal-portal berita bebas yang menyiarkan kenyataan kedua-dua belah pihak, akhbar arus perdana tidak lagi boleh bertindak seperti organ mana-mana parti politik.

Masyarakat tempatan hari ini telah bijak untuk menilai berita dan maklumat yang disajikan kerana selain membaca portal-portal berita bebas, mereka juga 'membaca' berita menerusi media sosial seperti Facebook atau dalam komunikasi menerusi Whatsapp.

Oleh itu, jika akhbar arus perdana yang mengalami penurunan edaran yang drastik dan berterusan sejak tahun-tahun kebelakangan ini mampu untuk menyajikan berita-berita bebas, adil dan seimbang, maka masyarakat pembaca akan kembali kepada akhbar arus perdana untuk sumber perolehan berita.

Ini dibuktikan oleh industri akhbar arus perdana di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang menunjukkan masyarakat pembaca di sana masih mahu menatap akhbar arus perdana setiap hari walaupun tahap penembusan internet sangat tinggi termasuk di kawasan pendalaman.

Jika semua masih ingat, dahulu wujud tanggapan bahawa industri pawagam akan terkubur apabila produk cakera padat (CD) mula menjengah pasaran perniagaan kerana harganya yang jauh lebih murah dan produk itu boleh ditontoni oleh ramai orang dengan pembelian satu CD sahaja.

Saling melengkapi

Namun, sehingga hari ini, kerusi-kerusi pawagam terbukti masih penuh diisi dengan jumlah penonton yang tidak pernah menunjukkan trend penurunan dan sekaligus, membuktikan industri pawagam dan CD saling melengkapi satu sama lain dalam menyajikan hiburan buat peminatnya.

Seperti juga portal berita internet dan surat khabar, kedua-dua sumber perolehan berita dan maklumat ini menjadi pilihan masyarakat pembaca di Malaysia untuk mendapatkan maklumat perkembangan semasa.

Namun, peranan akhbar arus perdana ini akan terus terhakis sekiranya mereka masih belum bebas dari cengkaman parti politik.

Justeru, dalam semangat bulan kemerdekaan tahun ini, usaha memerdekakan akhbar arus perdana dari kerugian perniagaan haruslah bermula dengan membebaskannya dari cengkaman parti politik.

Lihat Komen
ADS