Selepas tawarannya membantu BERSIH mendapatkan stadium untuk perhimpunan akan datang ditolak, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mengimbas kembali apa yang didakwanya sebagai keganasan ketika demonstrasi jalanan sebelum ini.

Beliau memuat-naik beberapa gambar di Twitter, yang antaranya memaparkan sekumpulan lelaki menyerang sebuah kereta.

"Ini adalah antara kejadian semasa demo BERSIH yang lalu. Ini adalah apa yang mungkin berlaku. Elakkannya!

"Malangnya, BERSIH menolak tawaran Pemuda Gerakan untuk berhimpun di stadium. Bersama kita berdoa himpunan tidak akan bertukar menjadi ganas seperti 2012," katanya menerusi tweeter.

"Pandangan boleh didengar sama ada di stadium atau di jalanan. Media boleh membuat liputan demo BERSIH di tadium. Persoalannya, mengapa mahu demo jalanan?" katanya.

Sementara itu, timbalannya Andy Yong berkata seseorang tidak perlu melakukan sesuatu yang melampau untuk mempamerkan kasih sayang kepada negara.

Katanya, rakyat juga perlu mengelak daripada memburuk-burukkan atau mengkritik negara di luar negara.

"Adalah terbukti bahawa rakyat Jepun atau China jarang sekali atau tidak akan bercakap mengenai keburukan kerajaan mereka di luar negara walaupun mereka tidak menyukai pemimpinnya," katanya.

Yong mengulas Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, yang menggesa semua rakyat untuk memainkan peranan mereka dengan menghadiri perhimpunan akan datang yang dianjurkan oleh gabungan pemantau pilihan raya itu.

Selain menggesa GlobalBersih untuk juga bertindak, Chin menyifatkan perhimpunan itu sebagai seruan kepada semua rakyat yang cintakan negara ini untuk bersama.

[Baca berita penuh]