Dua individu yang pernah ditahan kerana didapati gagal mematuhi prosedur perniagaan pemberi pinjam wang berlesen sebelum ini, direman selama 21 hari kerana turut dikesan menggunakan kekerasan
jenayah dan berselindung di sebalik lesen perniagaan sah ketika menjalankan aktiviti mereka.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata perintah reman ke atas kedua-dua mereka yang berusia 37 dan 45 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini bagi membenarkan siasatan polis dilakukan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Pada 21 Julai lepas, kedua-dua mereka ditahan di pejabat mereka di
Masai, Pasir Gudang susulan laporan daripada seorang mangsa yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka dan menggunakan kekerasan jenayah ke atas keluarganya.

Beberapa fail dokumen dan pelbagai kad ATM kepunyaan peminjam telah dirampas daripada kedua-duanya untuk dijadikan bahan bukti, kata Wan Ahmad Najmuddin ketika dihubungi di sini hari ini.

Mereka kemudian dihadapkan di Mahkamah Majistret di Johor Bahru pada 2 Ogos atas tiga pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 16 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana kegagalan memberikan dokumen perjanjian kepada peminjam dan Seksyen 17A(1) akta sama kerana mengenakan faedah yang tinggi ke atas peminjam.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka yang bertindak sebagai pemilik lesen pemberi pinjam wang tidak mengaku salah atas pertuduhan itu dan dibebaskan dengan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin manakala seorang lagi suspek dibebaskan tanpa jaminan setelah menjadi saksi pendakwaan.

Kes mereka akan disebut semula pada 29 Ogos.

Semalam, kedua-dua suspek sekali lagi ditahan antara pukul 3 hingga 3.15 petang di Bandar Seri Alam di sini untuk disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Pendakwaan akan dilakukan dalam tempoh terdekat selepas fail kes
dilengkapkan dan dirujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan.

Wan Ahmad Najmuddin berkata polis menasihati pemberi pinjam wang berlesen agar tidak sewenang-wenangnya bertindak membelakangkan undang-undang dengan tidak mematuhi akta yang ditetapkan dalam menjalankan kegiatan mereka.

- Bernama