Jalan-jalan kecil di kawasan penempatan penduduk Taman Wahyu, Jalan Ipoh menjadi laluan `lori hantu' untuk mengangkut pasir dari projek pembinaan kolam tebatan banjir sejak dua tahun lalu.

Kira-kira 100 `lori hantu' dikatakan berulang-alik melalui Taman Wahyu setiap hari, dari awal pagi hingga awal malam, untuk mengangkut pasir dari tiga kolam besar di belakang taman tersebut.

Projek tebatan banjir itu terletak berhampiran dengan tempat pelupusan sampah yang diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Taman Wahyu, Yap Poh Peng berkata, kehadiran `lori hantu' itu menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk kerana ia dipandu laju dan membahayakan kepada orang tua dan kanak-kanak.

Penduduk juga, katanya tidak boleh tidur kerana diganggu bunyi bising `lori hantu' selain ancaman debu daripada pasir yang jatuh di kawasan perumahan mereka.

Katanya, Taman Wahyu mempunyai 400 rumah dengan hampir 2,500 penduduk. Taman Wahyu terletak di Batu 6 Jalan Ipoh yang menghala ke Selayang.

"Meskipun ada jalan besar, pemandu `lori hantu' lebih suka menggunakan jalan pintas melalui celah-celah rumah penduduk kerana menjimatkan masa. Tetapi cara ini membahayakan penduduk.

"Kami pernah membuat laporan polis beberapa bulan lalu. Polis datang menyiasat tetapi pada hari tersebut `lori-lori hantu' tidak muncul. Selepas itu polis tidak datang lagi," katanya.

Kegiatan mengorek pasir

Yap berkata, projek tebatan banjir Taman Wahyu dimajukan oleh Peremba Construction Sdn Bhd untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi kawasan utara Kuala Lumpur.

Penduduk juga menemui wakil Peremba tetapi mereka mengatakan pihaknya telah menyerahkan urusan mengangkut pasir kepada sub-kontraktor dan Peremba tidak kena dengan perkara tersebut.

"Kini penduduk Taman Wahyu ingin tahu siapakah sub-kontraktor kepada kerja-kerja mengangkut pasir dari takungan projek tebatan banjir itu?" katanya.

Katanya, penduduk juga bimbang, kegiatan mengorek pasir di situ akan menyebabkan berlaku pergerakan pada struktur tanah dan ini membahayakan penghuni.

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan pegawai Jabatan Penyelarasan Ekonomi DBKL dan kami diberitahu bahawa tindakan sewajarnya akan diambil. Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memberitahu tugas mereka ialah untuk memantau projek tersebut," katanya.

Walaupun dibantah keras oleh penduduk Taman Wahyu, kegiatan mengorek pasir masih berjalan dan `lori hantu' keluar masuk mengangkut pasir menggunakan laluan di kawasan penempatan penduduk di taman tersebut.

Yap berkata, DBKL juga membuat arahan kepada enam keluarga pekebun sayur di Taman Wahyu supaya berpindah selewat-lewatnya 1 Julai ini kerana mereka mahu mengambilalih tanah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, DBKL tidak pula menyatakan untuk apa tanah tersebut diambilalih.