Seorang penganggur dihukum penjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas
pertuduhan mencekik ibunya dan mengugut keluarganya menggunakan pisau.

Majestret Husna Dzulkifli menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap M Shankarganes, 32, bagi kesalahan dengan sengaja mencederakan ibunya, V Susila Devi, 58, dengan mencekik lehernya.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh atas kesalahan melakukan ugutan jenayah ke atas anggota keluarganya dengan berkata akan membunuh mereka sambil melibas pisau ke arah mereka.

Husna memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh
ditangkap pada 30 Jun lepas.

Shankarganes didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kuarters Jalan Sungai Besi, Cheras, pada jam 2.30 petang 30 Jun lepas.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 dan Seksyen 506 kanun sama yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes semasa kejadian, pengadu S Muthukumar iaitu bapa
tertuduh dan anggota keluarga berada di rumah itu, berlaku selisih faham
sehingga tertuduh mencekik ibunya dan juga melibas pisau pada anggota keluarga lain sambil berkata mahu mengugut membunuh mereka.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia tidak bekerja manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman berbentuk pengajaran memandangkan mangsa merupakan ibunya dan ugutan itu menggunakan pisau menyebabkan kesan trauma kepada keluarga serta kesalahan itu adalah serius.

- Bernama